Pengeluar motosikal tempatan Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. bakal melancarkan sebuah model moped terbaharu yang dikenali dengan nama Aveta V-13R 2021, dalam bulan Oktober 2021 akan datang. Model tersebut akan dikuasakan enjin 130cc dengan kotak gear empat kelajuan dan klac automatik, serta patuh piawaian emisi Euro 4.
Setakat ini harga jualan asas untuk model moped berkenaan dikhabarkan sekitar RM 5,188.00 sahaja, menurut sumber maklumat dari laman Mudah.my. Apabila dilancarkan nanti, Aveta V-13R 2021 ini mungkin akan memberikan saingan kepada model Yamaha 135LC, kerana kapasiti enjin dan reka bentuk kedua-dua model itu hampir sama.
Di pasaran tempatan ketika ini, Aveta turut menawarkan beberapa model motosikal lain seperti Aveta VS110, Aveta Ranger 110, Aveta RX110, dan juga Aveta DY90. Tidak lama lagi, Aveta juga dikhabarkan bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu iaitu Aveta ADV150, di samping sebuah model super moped Aveta yang sporty.
Sumber : Tr Motorworld FB