KTM RC 390 2022 tampil dengan gaya rekaan lebih agresif, prestasi dipertingkatkan menggunakan DNA perlumbaan

Model sportbike berkonsepkan perlumbaan KTM RC 125 2022, KTM RC 200 2022 dan KTM RC 390 2022 telah pun diperkenalkan secara rasmi oleh KTM baru-baru ini. Untuk pasaran tempatan, KTM RC 200 2022 dijangka akan diperkenalkan oleh KTM Malaysia, begitu juga dengan KTM RC 390 2022 untuk peminat yang mahukan lebih prestasi.

KTM RC 390 2022 sebagai model dengan kapasiti enjin paling besar iaitu 373cc (liquid cooled, 1-cylinder, 4-stroke), kini menawarkan jumlah tork yang lebih tinggi. Dipadankan transmisi enam kelajuan, slipper clutch dan Quickshifter+ sebagai pilihan, enjin tersebut kini telah disemak semula untuk prestasi pecutan dan tunggangan yang lebih lancar.

Model tersebut turut dilengkapi sistem ekzos baharu dengan sentuhan rekaan daripada jentera perlumbaan MotoGP RC16, yang menggabungkan stainless steel headers dan muffler aluminium. Bukan setakat menjadikan penampilan model sportbike itu kini lebih sporty, malah menghasilkan bunyi yang tersendiri dan lebih garang sewaktu beraksi.

Gaya rekaan serba baharu KTM RC 390 2022 diilhamkan daripada jentera perlumbaan MotoGP, yang bukan sahaja menjadikannya lebih besar dan kelihatan lebih menyerlah, malah untuk mengoptimumkan prestasi aerodinamiknya pada kelajuan tinggi. Rekaan serba baharu itu juga mengoptimumkan tahap perlindungan daripada angin dan cuaca.

Selain itu, rekaan baharu pada model tersebut juga kini menawarkan tahap tunggangan yang lebih ergonomik dan selesa, dalam semua situasi tunggangan harian atau ketika beraksi di litar pada hujung minggu. Lebih dari itu, tahap pengendalian yang cemerlang dan tangkas turut disumbangkan oleh pengurangan berat motosikal secara signifikan.

KTM RC 390 2022 dibangunkan di atas kerangka ultra-lightweight dengan penjimatan berat sehingga 1.5 kg, sistem brek yang kini 960 gram lebih ringan dan rekaan rim roda baharu yang begitu sporty, dengan pengurangan berat sehingga 3.4 kg. Pada bahagian suspensi, ianya turut menerima naik taraf terbaharu yang lebih segar dan berprestasi.

KTM RC 390 2022 dilengkapi fork depan upside-down 43 mm WP APEX open cartridge dan penyerap hentak belakang WP APEX, yang mana kedua-duanya boleh dilaraskan. Untuk keselamatan, sistem brek ByBre menawarkan cakera 320 mm di bahagian depan dan cakera belakang 230 mm, lengkap dengan teknologi canggih Supermoto ABS.

Teknologi canggih lain yang melengkapi model berkenaan termasuklah Cornering ABS, Cornering MTC (Motorcycle Traction Control), panel instrumen TFT serba baharu yang boleh dihubungkan dengan aplikasi KTM My Ride, dan lampu depan LED rekaan serba baharu yang telah digabungkan dengan lampu LED Daylight Running Lights (DRL).

KTM RC 390 2022 turut menerima peningkatan yang sangat dialu-alukan iaitu ianya kini dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 13.7 liter. Secara tidak langsung membolehkannya pergi lebih jauh berbanding model generasi sebelumnya. Oleh kerana baru dilancarkan, ianya hanya akan berada di pasaran Eropah mulai bulan Mac 2022.