Aveta siarkan imej dua model terbaharu Aveta ADV150 dan Aveta V-13R, bakal dilancarkan tidak lama lagi

Syarikat pengeluar motosikal tempatan iaitu Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. dijangka bakal melancarkan dua model terbaharu tidak lama lagi, yang setakat ini mungkin akan dikenali dengan nama Aveta ADV150 dan Aveta V-13R. Gambaran awal untuk kedua-dua model itu telah pun disiarkan oleh Aveta, seperti mana dalam paparan di atas.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Aveta ADV150 ialah sebuah model skuter ADV yang dilengkapi enjin bersesaran 150cc, dan telah pun dilancarkan di pasaran China sebelum ini. Bagi model Aveta V-13R pula, ianya merupakan sebuah model moped, berdasarkan imej pada bahagian hadapannya. Enjinnya mungkin bersesaran 125cc atau pun 130cc.

Setakat ini Aveta masih belum memberikan sebarang maklumat rasmi mengenai tarikh pelancaran untuk kedua-dua model terbaharu itu, namun ianya dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat ini. Dengan pelancaran kedua-dua model itu nanti, pasaran skuter dan moped di negara kita pasti bertambah meriah, dengan pelbagai pilihan yang terkini.

Sumber gambar Aveta V-13R : Tr Motorworld Mudah.my