Tempahan Aveta Dayang ADV150 2021 kini dibuka, dikatakan akan berada di pasaran mulai Jun atau Julai 2021

Berita baik untuk peminat skuter dalam segmen ADV, apabila model terbaharu skuter Dayang ADV150 2021 dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dengan harga jualannya dikatakan di bawah RM 10k sahaja. Setakat ini model tersebut telah pun dilancarkan di pasaran China, dengan harga sekitar RM 10k – RM 14k.

Untuk pasaran Malaysia, menurut sumber dari laman Facebook Tr Motorworld Branch Cheras, Dayang ADV150 bakal diedarkan oleh syarikat pengeluar motosikal tempatan iaitu Aveta Global Marketing Sdn. Bhd., dengan pelancarannya dijadualkan pada bulan Jun atau Julai 2021. Ketika ini tempahan untuk model berkenaan telah pun dibuka.

Untuk anda yang mungkin belum tahu, kita imbas kembali spesifikasi dan ciri-ciri yang melengkapi Dayang ADV150 ini, yang boleh dikatakan cukup impresif dan pasti mampu memberikan saingan kepada model skuter popular Honda ADV150. Pertamanya ialah gaya rekaan dan penampilan Dayang ADV150 ini boleh dikatakan menarik dan sporty.

Seterusnya, ianya dilengkapi enjin 150cc yang menawarkan jumlah kuasa yang lebih tinggi sebanyak 16.45PS @ 8,500rpm dengan tork 14.6Nm @ 6,500rpm, berbanding Honda ADV150 yang menghasilkan kuasa maksimum 14.5PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.8Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 9.3 liter, manakala tangki bahan api Honda ADV150 mempunyai kapasiti 8.0 liter.

Selain itu Dayang ADV150 turut mempunyai salah satu ciri canggih yang tidak dapat dicabar oleh Honda ADV150, apabila ianya dilengkapi kamera depan dan belakang. Paparan kedua-dua kamera tersebut boleh dilihat secara terus di paparan skrin digital dan rakamannya boleh dimuat turun ke telefon bimbit menggunakan aplikasi mobil.

Dayang ADV150 juga dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik, antaranya seperti sistem lampu LED dengan rekaan lampu depan yang tersendiri, skrin penghadang angin boleh laras, pelbagai butang di handlebar dengan lampu latar LED yang berguna pada waktu malam, panel meter digital yang memaparkan pelbagai info, sistem penghidup tanpa kunci dan sistem brek cakera depan belakang dengan ABS.

Kelebihan Dayang ADV150 seterusnya ialah cirinya sebagai sebuah model skuter yang lasak dan mampu meredah laluan yang mencabar. Dengan tayar berukuran 110/80-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang) daripada jenis bunga yang tebal, tunggang uji yang dijalankan di China baru-baru ini telah membuktikan akan kemampuan sebenarnya.

Untuk pasaran Malaysia apabila dilancarkan oleh Aveta nanti, diharapkan ianya akan ditawarkan dalam versi dengan spesifikasi yang serba lengkap. Setakat ini belum pasti setakat manakah penerimaan peminat skuter tempatan terhadap model skuter Dayang ADV150 ini, namun jika kena dengan harga dan spesifikasi, ianya dijangka akan laris.