Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2022 terima naik taraf terkini dan penampilan baharu lebih menarik

Pada minggu lepas, Honda CRF1100L Africa Twin 2022 dan model kembarnya Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2022, telah membuat kemunculan rasmi untuk pasaran Eropah. Kedua-dua jentera kembara berkenaan telah menerima beberapa naik taraf terkini untuk musim 2022, termasuklah penampilan baharu yang lebih menarik.

Honda Africa Twin Adventure Sports mempunyai beberapa perbezaan jika dibandingkan dengan Honda Africa Twin versi standard, antaranya model tersebut mempunyai pilihan sistem suspensi canggih SHOWA EERA, kapasiti tangki bahan api lebih besar sehingga 24.8 liter, dan tambahan sepasang lampu Cornering Lights di bawah lampu utamanya.

Spesifikasi enjin adalah sama, iaitu bersesaran 1,084cc (SOHC, liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve Parallel Twin with 270° crank and Uni-cam) dan patuh piawaian Euro 5, dengan keluaran kuasa maksimum 100.5hp @ 7,500rpm dan tork setinggi 105Nm @ 6,250rpm. Dua pilihan sistem transmisinya ialah manual enam kelajuan atau DCT enam kelajuan.

Honda Africa Twin Adventure Sports 2022 turut mempunyai kelengkapan unit IMU (six-axis Inertial Measurement Unit) yang mengawal mod tunggangan (Tour, Urban, Gravel, Off-Road, User 1 & 2), HSTC (Honda Selectable Torque Control), Cornering ABS (with off-road setting), Wheelie Control, Rear Lift Control dan juga DCT cornering detection.

Jentera penjelajah jarak jauh itu seterusnya dilengkapi skrin sesentuh 6.5 inci TFT MID (Multi Information Display) berwarna sepenuhnya, dengan sambungan teknologi Apple CarPlay, Bluetooth dan Android Auto. Sistem lampu semuanya LED, termasuklah lampu DRL (Dual LED Daytime Running Lights) yang meningkatkan tahap keselamatannya.

Spesifikasi lain yang melengkapi jentera tersebut ialah soket pengecas USB, Auto Turn Signal Cancel, sistem Cruise Control, Emergency Stop Signal, sistem brek cakera ABS dengan ciri “selectable ABS MODE with on-road and off-road setting”, tayar depan dan belakang bersaiz 90/90-R21 dan 150/70-R18, dan tinggi tempat duduk 850 / 870mm.

Kembali kepada naik taraf yang diterima, Honda Africa Twin Adventure Sports 2022 kini dilengkapi sistem DCT (Dual Clutch Transmission) yang diperbaharui semula agar ianya lebih lancar dalam gear pertama dan kedua, skrin boleh laras 5 tahap baharu yang 110 mm lebih rendah, dan penampilan grafik ‘Cracked Terrain’ baharu yang lebih menarik.