WMoto Xtreme 150i 2021 bakal mencabar Honda ADV150, harga jualan asas di antara RM 8k sehingga RM 10k

Model skuter Honda ADV150 2021 yang dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan Februari yang lepas ternyata telah mencetuskan fenomena yang tersendiri. Kini sebuah lagi model skuter baharu dalam segmen yang sama telah diperkenalkan kepada pihak media baru-baru ini, yang bakal memberikan cabaran sengit kepada Honda ADV150.

Model tersebut ialah WMoto Xtreme 150i 2021, yang mana model ini berasal daripada model Lifan KPV150 2021 yang dilancarkan di pasaran China dalam bulan September yang lepas. Untuk pasaran tempatan, ianya dijenamakan semula oleh WMoto Malaysia, dan dijangkakan akan berada di pasaran secara rasmi mulai bulan Mei atau Jun depan.

Harga jualan asas yang bakal ditawarkan pula dikatakan antara RM 8,000.00 sehingga RM 10,000.00, boleh dikatakan berpatutan dan mampu milik. Sebagai perbandingan, harga jualan asas untuk Honda ADV150 ialah sebanyak RM 11,999.00. Melihat kepada spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan, WMoto Xtreme 150i ini tidak kurang hebatnya.

WMoto Xtreme 150i dikuasakan enjin dalam sesaran 149.3cc (silinder tunggal, empat lejang, dua injap, SOHC) dan dipadankan transmisi automatik C.V.T, dan menghasilkan kuasa maksimum 12.1hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 11.8Nm @ 5,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI dan patuh piawaian emisi Euro 4.

Antara ciri menarik yang melengkapi WMoto Xtreme 150i ini ialah tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 11 liter, dan ianya dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 400 km. Tangki bahan api yang besar bukan saja mengurangkan kekerapan singgah di stesen minyak, malah sesuai untuk aktiviti perjalanan jarak jauh.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapi model tersebut termasuklah fork depan jenis upside-down, suspensi belakang tunggal dengan ciri pelarasan prabeban, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS dual-channel, tayar depan dan belakang yang masing-masing bersaiz 100/80-R14 dan 120/70-R14, dan tinggi tempat duduk 765 mm.

Sebagai sebuah model skuter moden yang canggih dan praktikal, WMoto Xtreme 150i didatangkan sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD dengan pelbagai info, dua port pengecasan iaitu USB dan 12V, sistem Auto Start-Stop, skrin penghadang angin yang boleh dilaraskan dan ruang storan di bawah tempat duduk seluas 13 liter.

WMoto Xtreme 150i ini mempunyai berat hanya 143 kg, dan tidak dilupakan ialah jarak kelegaan tanahnya yang tinggi sehingga 180 mm telah memberikannya kelebihan untuk aktiviti off-road atau ketika meredah laluan yang tidak rata dan mencabar. Untuk anda yang merasakan model ini berbaloi dimiliki, nantikan ketibaan rasminya tidak lama lagi.

Sumber gambar : Paultan.org