Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) baru saja memperkenalkan Yamaha Ego Avantiz 2021, yang kini didatangkan dengan tiga pilihan warna dan grafik terbaharu iaitu Matte Green, Blue dan Red. Menariknya, harga jualan asas untuk model skuter tersebut kini lebih rendah berbanding harga sebelumnya, iaitu sebanyak RM 4,873.31 sahaja.
Sebelum ini harga jualan asas Yamaha Ego Avantiz ditetapkan sebanyak RM 5,536.00, namun setelah pihak kerajaan memperkenalkan pengecualian duti eksais 100 peratus bagi motosikal di bawah 150cc, harganya kini telah berkurangan sebanyak RM 662.29. Tempoh pengecualian duti eksais itu bermula dari 1 April sehingga 31 Disember 2021.
Yamaha Ego Avantiz dikuasakan enjin bersesaran 124cc yang dipadankan transmisi automatik, dan menghasilkan kuasa maksimum 9.4hp @ 8,000rpm dengan tork puncak 9.6Nm @ 5,500rpm. Enjin berteraskan teknologi Blue Core itu dikatakan menawarkan prestasi yang lebih berkuasa, pada masa yang sama lebih cekap penggunaan petrol.
Spesifikasi teknikal lain yang melengkapi model skuter tersebut termasuklah suspensi depan teleskopik, lengan ayun tunggal dengan suspensi monoshock, brek cakera di bahagian depan, brek dram di bahagian belakang, tangki bahan api 4.2 liter, ketinggian tempat duduk 773 mm dan roda berukuran 70/90-14 (depan) dan 90/80-14 (belakang).
Yamaha Ego Avantiz turut dilengkapi pelbagai ciri-ciri menarik, antaranya seperti meter kelajuan sporty dengan penunjuk Eco, lampu depan LED yang tampil agresif, rekaan lampu belakang yang bergaya dengan nyalaan terang, sistem kunci parking yang lebih selamat dan juga ruang barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas 14 liter.