Suzuki Raider R150 2021 diperkenalkan dalam versi Sport Special Edition untuk pasaran Vietnam

Model Suzuki Belang R150 FI 2021 serba baharu dijangka bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, namun sebelum itu apa kata kita lihat dahulu model terbaharu Suzuki Raider R150 2021 versi Sport Special Edition untuk pasaran Vietnam ini.

Suzuki Raider R150 2021 dalam versi Sport Special Edition diperkenalkan di pasaran Vietnam pada tarikh 16hb. April 2021 baru-baru ini, dalam tiga pilihan warna terbaharu yang tampil begitu sporty iaitu Blue/Silver/Black, Red/Black dan Silver/Black/Red.

Ketiga-tiga skim pilihan warna baharu tersebut dikatakan mengambil inspirasi daripada tiga jentera berprestasi tinggi Suzuki, iaitu jentera Suzuki GSX-RR yang bersaing dalam MotoGP, jentera endurance Suzuki GSX-R1000 dan jentena naked Suzuki Katana.

Tiga pilihan warna terdahulu iaitu Black/Red, Blue/Black/Orange dan Matte Blue/Black yang diperkenalkan dalam bulan Oktober 2020 yang lalu juga masih lagi ditawarkan, menjadikan pilihan warna yang ditawarkan ketika ini kepada enam pilihan kesemuanya.

Aspek spesifikasi masih kekal sama, iaitu dikuasakan enjin 147.3cc (DOHC, 4-injap, FI) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 18.2hp (13.6kW) @ 10,000rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm.

Suzuki Raider R150 Sport Special Edition 2021 ditawarkan sebanyak 49,990,000 VND, bersamaan RM 8,935.51. Untuk pasaran Malaysia, dikhabarkan Suzuki Belang R150 FI 2021 bakal dilancarkan pada separuh kedua tahun ini, sama-sama kita nantikan.