Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) sudah pasti bakal melancarkan model terbaharu Yamaha Y15ZR V3 (Yamaha Exciter 155 VVA) tidak lama lagi untuk pasaran tempatan. Setakat ini teaser pertama berkenaan model tersebut telah pun dipaparkan di dalam laman Facebook rasmi Yamaha Motor Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan dan mungkin juga misteri ketika ini ialah apakah nama terbaharu yang bakal digunakan untuk model moped yang selama ini ditunggu-tunggu itu. Adakah kekal dengan nama awal Yamaha Y15ZR V3, atau adakah menggunakan nama baharu Yamaha Y155ZR VVA seperti mana yang dijangkakan?
Kini timbul pula spekulasi terkini yang mengatakan bahawa nama baharu sebenar untuk model tersebut ialah Yamaha Y16ZR. Mungkin ramai yang tidak pernah langsung terfikir bahawa pihak HLYM akan menggunakan nama Y16ZR, kerana model tersebut tidak dilengkapi enjin bersesaran 160cc, sebaliknya hanya menggunakan enjin 155cc sahaja.
Jika benar spekulasi ini, pihak HLYM mungkin mempunyai beberapa alasan tersendiri. Antaranya ialah nama Yamaha Y16ZR ini merupakan nama ringkas yang mudah untuk disebut, sekaligus membezakannya dengan nama Yamaha Y15ZR. Tambahan pula model Yamaha Y15ZR dikatakan akan terus berada di pasaran tempatan selepas ini.
Perbezaan di situ sangat jelas, bermakna Yamaha Y16ZR merupakan model dengan enjin yang lebih besar dan merupakan model yang lebih terkini berbanding model Yamaha Y15ZR. Apa pun ini semua hanyalah masih sekadar spekulasi, mungkin hanya sekadar untuk menghangatkan penantian model yang sangat dinanti-nantikan itu.
Artikel berkaitan :