Yamaha Motor Vietnam tawar insentif 5,000,000 VND untuk setiap pembelian Yamaha Exciter 150 (Mac – Mei 2021)

Di pasaran Malaysia, harga jualan untuk model moped popular Yamaha Y15ZR V2 adalah lebih tinggi berbanding harga yang ditetapkan oleh pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM). Harga tersebut sebenarnya dinaikkan sendiri oleh wakil-wakil pengedar dan juga oleh kedai-kedai yang menjual motosikal tanpa sebarang halangan.

Situasi tersebut berlaku disebabkan oleh permintaan yang melebihi penawaran, seperti mana yang pernah diperkatakan oleh pakar-pakar ekonomi. Apabila permintaan untuk model Yamaha Y15ZR V2 adalah tinggi, sedangkan pengeluaran untuk model tersebut boleh dikatakan terhad, maka berlakulah kenaikan harga yang melebihi harga asalnya.

Bagaimanapun di pasaran Vietnam pada ketika ini, situasinya sangat berlainan sekali. Bagi model Yamaha Exciter 150 yang sebelum ini sangat popular, harga untuk model moped berkenaan kini telah diberikan insentif yang menarik oleh pihak Yamaha Motor Vietnam sendiri. Insentif tersebut berupa pemberian diskaun sehingga 5,000,000 VND.

Apabila ditukarkan kepada Ringgit Malaysia, ianya bersamaan nilai RM 892.69. Insentif tersebut bermula dari tarikh 01.03.2021 sehingga 31.05.2021. Harga Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam pada ketika ini untuk lima varian yang ditawarkan bermula dari 46,990,000 VND (RM 8,389.54) sehingga 48,990,000 VND (RM 8,746.62).

Salah satu faktor utama kenapa pihak Yamaha Motor Vietnam sendiri yang memberikan insentif atau diskaun tersebut ialah kerana permintaan untuk model Yamaha Exciter 150 ketika ini adalah berkurangan pada tahap yang agak ketara, setelah pelancaran model terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 yang tampil lebih sporty dan berprestasi.

Tambahan pula model saingannya iaitu Honda Winner X 2021 juga kini telah menerima diskaun yang sangat tinggi yang ditawarkan sendiri oleh wakil-wakil penjual dan kedai-kedai motosikal di pasaran Vietnam. Oleh itu teori ekonomi yang mengatakan bahawa harga jualan barangan bergantung kepada pemintaan dan penawaran adalah benar.

Bagaimanapun situasi di pasaran Malaysia mungkin tidak akan sama. Adakah selepas pelancaran Yamaha Y15ZR V3 2021 nanti, HLYM akan memberikan diskaun menarik untuk model Yamaha Y15ZR V2? Bayangkan jika model Yamaha Y15ZR V2 akan turut diberikan insentif berupa diskaun harga jualan, sama seperti di pasaran Vietnam.