Pada tarikh 08hb. Ogos 2015, Yamaha Y15ZR dilancarkan dengan rasminya untuk pasaran Malaysia

Sempena dengan pelancaran model moped terbaharu Yamaha Y15ZR V3 2021 yang bakal berlangsung dalam tempoh dua hari lagi, bertarikh 18hb. Mac 2021, ada baiknya kita imbas kembali pelancaran generasi pertama Yamaha Y15ZR 2015 serba baharu.

Yamaha Y15ZR 2015 dilancarkan dengan rasminya oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada tarikh 08hb. Ogos 2015, dengan harga jualan asas sebanyak RM 7,999.82 selepas GST. Model moped yang dilengkapi enjin berkapasiti 150cc itu ditawarkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Biru, Merah dan juga Hitam.

Kemudiannya dalam bulan Julai 2016, model tersebut didatangkan dalam pilihan warna baharu Kelabu, bagi menggantikan warna Hitam. Bagi model tahun 2016 yang masih mengekalkan tiga pilihan warna iaitu Biru, Merah dan Kelabu, harga jualan asas untuk model berkenaan telah meningkat sedikit kepada RM 8,210.00 termasuk GST.

Sewaktu ianya mula dilancarkan di pasaran Malaysia, Yamaha Y15ZR telah menerima sambutan hangat daripada ramai peminat motosikal tempatan. Pada bulan Jun 2016, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. telah melancarkan model terbaharu Honda RS150R, dan sejak itu kedua-dua model tersebut sentiasa saling bersaing di antara satu sama lain.

Yamaha Y15ZR generasi kedua (Version 2) kemudiannya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam bulan Mac 2019. Dan kini tiba pula giliran generasi ketiga dengan enjin 155cc VVA yang lebih berprestasi. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya.