Model street fighter Yamaha MT-15 2020 dilancarkan di pasaran Thailand dalam bulan November 2020 yang lepas. Namun hari ini model tahun 2021 telah pun dilancarkan dengan rasminya, dengan kemaskini tiga pilihan warna terbaharu. Harga jualan yang ditawarkan pula kekal sama iaitu sebanyak THB 98,500, bersamaan RM 13,330.62.
Dari aspek teknikal, juga tiada sebarang perubahan. Ini bermakna Yamaha MT-15 2021 di pasaran Thailand ini masih dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 155cc (Single Cylinder, SOHC, 4-valve, Liquid Cooled) dengan teknologi VVA. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan yang digandingkan dengan sistem Assist & Slipper Clutch.
Laman sesawang Yamaha Thailand tidak memaparkan jumlah keluaran kuasa dan tork untuk model berkenaan, namun berdasarkan maklumat daripada model Yamaha MT-15 2020 di pasaran Malaysia, kuasa maksimumnya adalah sebanyak 19hp @ 10,000rpm dengan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm. Model tersebut dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 10 liter, dan berat keseluruhannya hanyalah 133 kg.
Spesifikasi lain yang melengkapi Yamaha MT-15 termasuklah kerangka Deltabox dan lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu posisi berkembar dengan lampu hadapan LED mono, fork depan jenis terbalik, cakera brek depan 282 mm, tayar belakang selebar 140 mm dan ketinggian tempat duduk 810 mm. Sistem brek ABS seperti mana model MT-15 di pasaran India bagaimanapun masih belum ditawarkan.
Untuk pasaran Thailand, Yamaha MT-15 2021 ditawarkan dalam tiga skim pilihan warna terbaharu yang menarik iaitu Metallic Grey, Racing Blue dan Matt Black. Ketiga-tiga pilihan warna tersebut dijangka akan turut diperkenalkan untuk model Yamaha MT-15 di pasaran Malaysia, namun mungkin hanya akan diperkenalkan pada hujung tahun nanti.