Honda Forza 250 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 24,413.12

PT Astra Honda Motor (AHM) hari ini dengan rasminya melancarkan Honda Forza 250 2021 untuk pasaran Indonesia. Model skuter maxi tersebut kini tampil lebih mewah dan lebih sporty, dengan empat pilihan warna yang menarik iaitu Mat Gunpowder Black Metallic, Indy Gray Metallic, Pearl Horizon White dan Candy Rosy Red.

Honda Forza 250 2021 kini dilengkapi enjin eSP+ (enhanced Smart Power) baharuĀ  yang didatangkan dalam sesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, SOHC), lengkap dengan sistem PGM-FI. Enjin yang dipadankan transmisi automatik itu kini menjana kuasa maksimum 22hp @ 7,750rpm dengan tork puncak 24Nm @ 6,250rpm.

Untuk tunggangan yang stabil dan selesa, ianya dilengkapi fork depan teleskopik dan suspensi belakang berkembar. Sistem brek cakera depan dan belakang, dengan sistem brek ABS dua saluran pula menjamin tahap keselamatannya pada aras tertinggi. Lebih dari itu ianya turut dilengkapi sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Di bahagian roda, Honda Forza 250 2021 menggunakan tayar depan dalam siri 120/70-15M/C 56P, sementara tayar belakangnya hadir dalam siri 140/70-14M/C 62P. Tinggi tempat duduk model skuter maxi itu berada pada paras 780 mm. Beratnya ialah 186 kg (curb weight), yang turut disumbangkan oleh kapasiti tangki bahan api 11.7 liter.

Honda Forza 250 2021 juga didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri menarik dan moden seperti skrin penghadang angin dengan ciri boleh laras elektrik, sistem kunci Honda Smart Key, pengecas USB baharu di dalam kotak konsol depan, sistem lampu LED sepenuhnya dan sistem lampu kecemasan baharu Emergency Stop Signal (ESS).

Selain itu ianya turut mempunyai ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah topi keledar. Untuk pasaran Indonesia, Honda Forza 250 2021 terbaharu yang bergaya, sporty dan mewah ini ditawarkan pada harga jualan Rp. 83,810,00 (OTR Jakarta), bersamaan RM 24,413.12 mengikut kadar semasa.