Yamaha MT-15 2020 kini rasmi di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 11,988.00

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn. Bhd. hari ini secara rasminya mengumumkan ketibaan Yamaha MT-15 2020 untuk pasaran Malaysia. Harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 11,988.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Harga tersebut didapati sama seperti mana harga model Yamaha YZF-R15 2020.

Yamaha MT-15 yang lincah ini dikuasakan enjin bersesaran 155cc (sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap) dengan teknologi VVA, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimumnya adalah sebanyak 19.3PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm. Jentera street naked tersebut mempunyai kapasiti tangki petrol maksimum 10 liter dan berat hanya 133 kg.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha MT-15 termasuklah rangka Deltabox dengan lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu posisi berkembar dan lampu hadapan LED, fork depan jenis terbalik, cakera depan sebesar 282 mm dan tayar belakang selebar 140 mm. Sistem brek ABS bagaimanapun masih belum ditawarkan.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 2020 tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Yamaha Blue dan Ice Fluo. Bagi setiap pembelian, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Tempoh jaminan yang diberikan oleh HLYM adalah selama 2 tahun, atau jarak perjalanan sejauh 20,000 km.

Untuk anda yang berminat, tempahan kini sudah dibuka di setiap pengedar sah Yamaha yang berdekatan. Kesimpulannya, harga asas yang ditawarkan di bawah RM 12k untuk Yamaha MT-15 di pasaran tempatan ini boleh dikatakan berpatutan. Jadi tunggu apa lagi, tempah segera untuk menjadi individu yang pertama memilikinya.

(Visited 12,470 times, 1 visits today)