Husqvarna Svartpilen 250 versi klon di pasaran China

Pasaran Malaysia baru-baru ini telah menerima kehadiran model terbaharu Husqvarna Svartpilen 250 2021, yang tampil dengan gaya rekaan unik dan tersendiri. Di pasaran global yang lain, tidak pasti setakat mana popularnya model Svartpilen 250 ini, namun didapati ianya telah mendapat perhatian syarikat pengeluar motosikal dari China.

Berdasarkan gambar-gambar yang disiarkan di sini, terdapat model klon Husqvarna Svartpilen 250 yang ditawarkan di pasaran China. Model klon tersebut dilengkapi enjin yang lebih besar, bersesaran 279cc dengan kuasa maksimum 24hp @ 8,500rpm dan tork puncak 23Nm @ 7,000rpm. Kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai 125 km/j.

Spesifikasinya yang lain boleh dikatakan agak menarik, dengan fork USD, lampu LED, meter digital, suspensi belakang monoshock, brek cakera dan tayar berukuran 15 inci. Motosikal dengan nama model KT300 ini telah ditawarkan untuk keluaran eksport oleh pengeluarnya. Tidak pasti pula di negara mana ianya akan dipasarkan selain China.