Husqvarna Motorcycles Malaysia baru-baru ini dengan rasminya melancarkan tiga buah model terbaharu untuk pasaran tempatan iaitu Husqvarna Svartpilen 401, Husqvarna Vitpilen 401 dan Husqvarna Svartpilen 250. Model Svartpilen 250 pastinya antara yang paling mendapat perhatian ramai kerana sesuai untuk pemilik lesen B2 di negara kita.
Harga asas yang ditawarkan juga lebih rendah iaitu sebanyak RM 24,800.00 sahaja, berbanding harga asas yang lebih tinggi untuk kedua-dua model 401 iaitu sebanyak RM 29,800.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Bagaimanapun perbezaan harga di antara model 250 dan 401 dirasakan tidak terlalu jauh berbeza.
Husqvarna Svartpilen 250 dikuasakan enjin bersesaran 248.8cc (1-cylinder, 4-stroke engine, liquid cooled) dengan gandingan transmisi enam kelajuan dan dilengkapi sistem slipper clutch (PASC antihopping clutch), seterusnya menghasilkan kuasa maksimum pada angka 31hp @ 9,000rpm dan tork maksimum pada paras 24Nm @ 7,250rpm.
Svartpilen 250 kemudiannya dilengkapi fork depan jenis terbalik WP Apex 43 mm dan suspensi belakang monoshock WP APEX, dengan ciri pelarasan prabeban. Sistem brek ByBre hadir dengan cakera depan 320 mm (kaliper empat piston) dan belakang 230 mm (kaliper satu piston), disempurnakan lagi dengan sistem brek ABS dual-channel.
Antara spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi Svartpilen 250 termasuklah kapasiti tangki bahan api 9.5 liter, ketinggian tempat duduk 835 mm, sistem lampu LED, panel meter digital, rekaan rim tuangan yang sporty, casis ringan yang menyumbang kepada berat kering hanya 153 kg dan bar hendal pada kedudukan lebih tinggi dan selesa.
Akhir sekali, faktor utama mengapa model Husqvarna Svartpilen 250 ini akan mampu menarik perhatian ramai apabila berada di jalan raya nanti ialah kerana reka bentuknya yang unik dan tersendiri. Jika kuasanya dirasakan belum mencukupi, Svartpilen 401 dengan reka bentuk yang sama dan lebih berkuasa sentiasa bersedia untuk dimiliki.
Sedikit maklumat tambahan, Husqvarna Motorcycles kini dimiliki oleh syarikat KTM AG sejak tahun 2013. Oleh itu enjin dan transmisi yang digunakan pada model Svartpilen 250 ini adalah sama seperti mana yang digunakan pada model naked KTM 250 Duke. Sebagai jenama premium, harga Svartpilen 250 lebih tinggi daripada KTM 250 Duke.