Menjelang acara pelancaran rasmi Yamaha Exciter 155 VVA 2021 pada penghujung bulan Disember 2020 yang lepas, Yamaha Motor Vietnam telah membuka tempahan untuk model Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition 2021. Model versi istimewa tersebut hanya ditawarkan dalam jumlah terhad 100 unit sahaja.
Jadi apakah perbezaannya di antara model standard dan versi edisi terhad tersebut? Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition didatangkan dengan panel depan karbon, dan di atasnya tertulis perkataan Limited Edition, 100 Special Exciter 155 VVA dan Serial Number yang bermula dengan nombor 001 sehingga 100.
Selain itu setiap pembelian Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition turut disertakan cenderamata berupa rantai kunci eksklusif Exciter 155 VVA, di samping sijil pemilikan rasmi sebagai bukti ianya adalah model edisi terhad. Pilihan warna yang ditawarkan merangkumi keempat-empat warna iaitu Biru (GP Edition), Merah, Putih dan Hitam.
Harga yang ditawarkan pula masih kekal sama seperti mana harga untuk model standard. Oleh kerana ianya hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad 100 unit sahaja, bermakna setiap pemilik Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition 2021 sangat bertuah kerana telah terpilih di antara sekian ramai pembeli yang lain.