Setelah seminggu berlalu sejak pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Yamaha Y15ZR V3) di pasaran Vietnam, kesimpulan yang dapat dibuat ialah model moped berkenaan kini tampil dengan gaya rekaan baharu yang lebih sporty dan menawan.
Mungkin kekurangannya jika ada, hanyalah melibatkan rekaan di bahagian kepala atau lampu atasnya sahaja. Namun tidak semua yang mengatakan rekaan tersebut tidak menarik, malah dari segi aerodinamik ianya lebih praktikal pada tahap kelajuan tinggi.
Lebih dari itu kini tiada lagi masalah besar untuk menempatkan nombor plat di bahagian hadapan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negara kita, kerana ruang yang siap tersedia kini sudah cukup luas.
Bagi pemilik yang lebih kreatif dan mempunyai poket yang tebal, bayangkan bagaimana agaknya rupa paras terkini model tersebut apabila dimodifikasi nanti. Bukan sahaja akan bertambah sporty dan agresif, malah kelajuan maksimumnya pasti meningkat.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas betapa sporty dan menawannya penampilan Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam ini, anda boleh saksikan gambar-gambar menariknya dalam galeri di bawah, sumber daripada laman sesawang VOV.vn.