Yamaha Lagenda 115Z 2020 terima kemaskini warna baharu lebih segar dan sporty

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini memperkenalkan Yamaha Lagenda 115Z versi 2020 terbaharu, yang kini tampil dengan kemaskini warna dan corak grafik terkini yang lebih segar dan sporty. Model tersebut boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Kelabu, Biru dan Merah.

Aspek teknikal bagaimanapun masih sama seperti model tahun 2019, iaitu dikuasakan enjin berkapasiti 113.7cc (Single Cylinder, Air-cooled, 4-Stroke, SOHC, 2-Valve) dengan sistem suntikan bahan api (Fuel Injection), dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, dan kemudiannya dipadankan transmisi empat kelajuan.

Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 10hp (7.4kW) @ 7,750rpm dengan tork maksimum 9.9Nm @ 6,500rpm. Yamaha Lagenda 115Z mempunyai tangki bahan api dengan isian maksimum 4.05 liter, manakala berat motosikal ialah 100 kg (wet weight). Ukuran ketinggian tempat duduk berada pada paras 765 mm.

Sistem suspensinya terdiri daripada sepasang fork depan jenis teleskopik, dengan gandingan penyerap hentak belakang jenis berkembar. Sistem breknya ialah cakera di bahagian depan dan dram di bahagian belakang. Seterusnya, tayar depan dan belakang masing-masing hadir dalam siri 70/90 – 17 M/C38P dan 80/90 – 17 M/C50P.

Bagi setiap pembelian Yamaha Lagenda 115Z 2020, pembeli akan menerima hadiah percuma berupa kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00. Walaupun telah menerima kemaskini warna baharu, harga jualan yang ditawarkan masih kekal tidak berubah, iaitu hanya RM 5,180.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Untuk anda yang mahukan sebuah model Lagenda 115Z yang lebih istimewa, HLYM ketika ini turut menawarkan model Yamaha Lagenda 115Z SRT (Sepang Racing Team) GP Edition 2020. Model tersebut merupakan keluaran edisi terhad, di mana setiap pemiliknya akan menerima sijil pemilikan yang eksklusif.

(Visited 4,145 times, 1 visits today)