Yamaha Lagenda 115Z SRT GP Edition 2020 dilancarkan untuk pasaran Malaysia

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada tarikh 08hb. Disember 2019 yang lalu telah membuat kejutan dengan melancarkan model Yamaha Lagenda 115Z SRT (Sepang Racing Team) GP Edition 2020. Model tersebut dilancarkan secara rasmi di Litar Sepang sewaktu pusingan akhir perlumbaan Petronas Malaysian Cub Prix.

Menurut HLYM, setiap pemilik motosikal edisi terhad tersebut akan menerima sijil pemilikan eksklusif. Harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 5,580.00. Pasukan Yamaha SRT bagi musim 2019 dibarisi oleh dua pelumba handalan Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo. Yamaha Lagenda 115Z SRT GP Edition tampil dengan gaya dan inspirasi daripada jentera Petronas Yamaha SRT YZR-M1 MotoGP 2019.

Sesuai untuk tunggangan harian dan bagi peminat yang mementingkan gaya eksklusif, Yamaha Lagenda 115Z SRT GP Edition 2020 ini dikuasakan enjin empat lejang SOHC, 2-Valve yang bersesaran 113.7cc dengan ciri satu silinder, sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api, bersama-sama transmisi empat kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 7.4kW @ 7,750rpm, dengan tork maksimum 9.9Nm @ 6,500rpm.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model kapcai tersebut adalah seperti sistem penghidup tendang dan elektrik, kapasiti tangki minyak 4.05 liter, sistem brek cakera di bahagian hadapan, fork depan jenis teleskopik dan suspensi belakang jenis berkembar dengan tabung gas. Secara keseluruhannya, penampilan Yamaha Lagenda 115Z SRT GP Edition 2020 ini kelihatan sangat bergaya, sporty dan pastinya eksklusif.