Yamaha Lagenda 115Z 2019 bertaraf EEV, didatangkan pilihan warna baharu lebih menarik

Sehingga kini Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) masih menawarkan model kapcai Lagenda untuk pasaran tempatan. Versi paling terkini ialah Yamaha Lagenda 115Z model tahun 2019 yang diperkenalkan dalam bulan Februari tahun lepas.

Model tersebut telah menerima taraf sebagai kenderaan cekap tenaga atau Energy Efficient Vehicle (EEV), membolehkannya menerima insentif daripada pihak kerajaan. Oleh itu harga asas yang ditawarkan menjadi lebih rendah kepada hanya RM 5,180.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Yamaha Lagenda 115Z 2019 turut didatangkan dengan tiga pilihan warna baharu yang lebih menarik dan segar iaitu Biru, Merah dan Kuning. Sebagai tambahan untuk nilai yang lebih baik, setiap pembelian kapcai tersebut akan turut menerima kunci cakera Yamaha (Yamaha Disc Lock) jenis keluli tahan karat (stainless steel).

Yamaha Lagenda 115Z dilengkapi enjin dalam sesaran 113.7cc (Single Cylinder, Air-cooled, 4-Stroke, SOHC, 2-Valve) dengan padanan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api dan sistem penghidupnya jenis tendang dan elektrik. Sistem breknya ialah cakera di depan dan jenis dram di roda belakang.

Menurut HLYM, Yamaha Lagenda 115Z 2019 menawarkan enjin serba baharu dengan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding enjin sebelumnya. Bersama-sama intake dan sistem ekzos yang direka semula, ini membolehkannya menawarkan kuasa dan prestasi optimum dan pada masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api.

Ciri-ciri lain yang diperkenalkan termasuklah kluster lampu baharu, instrumen panel meter baharu, bar pemegang belakang dengan rekaan ergonomik, lampu belakang baharu, muffler ekzos baharu dengan rekaan moden dan rekaan double-fin di bahagian fairing atau kepak motosikal untuk menghasilkan pengambilan udara yang lebih lancar.

Untuk anda yang hanya memerlukan sebuah kapcai sederhana pada harga mampu milik, namun masih menawarkan prestasi dan ciri-ciri antara yang terbaik di dalam kelasnya, Yamaha Lagenda 115Z ini mungkin merupakan pilihan yang sesuai.