Yamaha TZR150 1990 di pasaran Thailand

Sebelum ini kita sudah melihat model Yamaha VR150 yang pernah ditawarkan di pasaran Thailand. Kali ini kita lihat pula model kembarnya Yamaha TZR150 yang didatangkan dengan full fairing. Spesifikasi teknikal model ini dikatakan sama seperti Yamaha VR150, masih dilengkapi enjin 147.6cc dan memiliki teknologi YPVS.

Model yang dipaparkan di sini menurut maklumat dari Yamaha, merupakan keluaran tahun 1990. Ianya didatangkan dalam pilihan lima warna yang menarik. Lampu depan berkembarnya direka jenis bulat, manakala sistem brek cakera depannya membuktikan bahawa motosikal dua lejang ini mempunyai kuasa dan kelajuan yang memuaskan.

Sistem penyerap hentak belakang model ini juga tampil moden dengan suspensi monoshock. Selain daripada model standard Yamaha TZR150, turut ditawarkan di pasaran Thailand ialah Yamaha TZR150R yang didatangkan dengan teknologi YCLS (Yamaha Computerized Lubrication System) serta sistem brek cakera belakang.

Untuk pasaran Thailand, Yamaha TZR150 dan Yamaha TZR150R dipercayai ditawarkan bermula awal sehingga pertengahan 1990an, sebelum digantikan dengan model Yamaha TZM150. Bagi pasaran Malaysia pula, Yamaha TZR125 dan Yamaha TZR250 pernah ditawarkan suatu ketika dahulu, namun TZR150 dikecualikan.

(Visited 95 times, 1 visits today)