Honda CB500X 2019 di pasaran Malaysia, harga asas RM 36,099.00

Untuk peminat motosikal dalam segmen kembara atau adventure, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) sejak pertengahan tahun lepas telah menawarkan model Honda CB500X 2019 di pasaran tempatan. Harga jualan untuk model berkenaan ditetapkan sebanyak RM 36,099.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Honda CB500X dilengkapi enjin bersesaran 471cc (Liquid-cooled, 4-stroke, DOHC) dengan padanan transmisi enam kelajuan, dan ianya turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 49.6hp @ 8,500rpm dengan tork 45Nm @ 6,500rpm, sama seperti kuasa enjin Honda CBR500R 2019.

Bersedia untuk ke mana sahaja destinasi yang ditujui, tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 17.5 liter, sementara beratnya ialah 196 kg (curb weight). Honda CB500X mempunyai ketinggian tempat duduk 830 mm dengan posisi tunggangan yang ergonomik, manakala jarak kelegaan bumi berada pada paras 180 mm.

Untuk meredah semua laluan yang adakalanya mungkin mencabar, suspensi depannya hadir dengan travel yang lebih panjang bersama-sama rim depan berukuran 19 inci yang tampil dengan rekaan baharu. Honda CB500X juga dilengkapi skrin penghadang angin yang lebih tinggi untuk keselesaan maksimum dan perlindungan yang lebih baik.

Selain itu, paparan instrumen LCD baharu dengan penunjuk maklumat posisi gear dan lampu indikator penukaran gear memberi lebih kemudahan kepada penunggang. Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah sistem brek ABS, sistem lampu LED sepenuhnya, tayar tanpa tiub dan bunyi ekzos dwi-muffler baharu yang sporty.

Honda CB500X 2019 menampilkan rekaan keseluruhan yang agresif dan dinamik, bersesuaian dengan gaya pengembaraannya. Tiga pilihan warna yang ditawarkan ialah Grand Prix Red, Mat Gun Powder Black Metallic dan Pearl Metalloid White. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.