Ottimo Viz 110 di pasaran Malaysia, harga RM 4,288.00

Ketika ini sudah tentu ramai yang mengenali nama pengeluar motosikal tempatan Ottimo Technologies Sdn. Bhd, yang muncul dengan produk pertama mereka Ottimo Viz 110. Dilancarkan pada bulan Disember 2018 yang lalu, model kapcai tersebut ditawarkan pada harga RM 4,288.00, dalam dua pilihan warna iaitu merah dan biru.

Sekali pandang, tidak dinafikan Ottimo Viz 110 ini mempunyai reka bentuk seakan-akan model Honda RS150R yang tampil dengan gaya sporty dan moden. Ianya dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 107cc yang dipadankan transmisi empat kelajuan jenis rotary. Enjin yang mematuhi piawaian Euro 3 itu menawarkan kuasa maksimum 6.7hp @ 8,000rpm dengan tork sebanyak 6.9Nm @ 6,000rpm.

Enjin tersebut hadir dengan sistem penyejukan jenis udara, sistem penyampaian bahan api karburator, sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, serta tangki petrol dengan isian penuh 3.6 liter. Menurut Ottimo Technologies, jarak tunggangan dengan setangki penuh petrol mampu menjangkau sehingga 180 km, sebelum perlu diisi semula.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Ottimo Viz 110 ini termasuklah paparan meter kelajuan yang jelas dan padat untuk informasi penunggang, ruang simpanan barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas enam liter, soket kuasa USB, lampu deco dan lampu penunjuk arah LED, kunci utama dengan penutup magnetik untuk keselamatan dan sistem anti kecurian, serta brek hadapan cakera dengan dwi piston yang cekap.

Sewaktu majlis pelancaran dahulu, Ottimo Technologies pernah mengatakan syarikat tersebut berhasrat untuk memperkenalkan beberapa buah model lain selepas ini, antaranya termasuklah sebuah model supercub dengan enjin 150cc pada tahun 2021. Diharapkan perancangan tersebut akan menjadi kenyataan pada tahun depan.

Artikel berkaitan : Ottimo Viz 110 dengan janaan kuasa tenaga elektrik

(Visited 165 times, 1 visits today)