Ottimo Viz 110 dengan janaan kuasa tenaga elektrik

Ottimo Technologies Sdn. Bhd merupakan pengeluar motosikal terbaharu di pasaran tempatan. Produk pertama mereka ialah sebuah motosikal kapcai yang diberi nama Ottimo Viz 110 yang dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 107cc, dengan kelengkapan karburator, sistem sejukan udara dan kotak gear empat kelajuan. Model tersebut dilancarkan pada Disember 2018, pada harga asas sebanyak RM 4,288.00.

Menurut Ottimo Technologies, Ottimo Viz 110 merupakan rekaan tempatan, namun 70 peratus sumber komponen motosikal tersebut dikatakan berasal dari China. Sasaran syarikat tersebut ialah untuk mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus komponen tempatan untuk motosikal berkenaan menjelang tahun 2021. Namun bagaimana pula jika dikatakan Ottimo Viz 110 juga mempunyai versi dengan janaan kuasa elektrik?

Sebenarnya, Ottimo Viz 110 yang dipaparkan di dalam artikel ini merupakan model buatan China, daripada syarikat yang bernama Taixing Sintec Foreign Trade Co. Ltd. Ianya dikuasakan oleh tenaga elektrik yang tersimpan di dalam bateri Lithium, dengan jarak perjalanan yang mampu dicapai sejauh 65 km. Kelajuan maksimumnya dalam lingkungan 55 km/j. Selain daripada versi elektrik ini, versi petrol sama seperti di pasaran Malaysia juga turut ditawarkan oleh syarikat dari China tersebut.

Setakat ini tidak pasti sama ada Ottimo Technologies berhasrat untuk membawa masuk Ottimo Viz 110 versi elektrik ini ke pasaran tempatan. Namun begitu melihat kepada penerimaan pengguna motosikal di Malaysia terhadap model Modenas CTric yang tidak mendapat sambutan, rasanya tiada keperluan untuk Ottimo Technologies mengambil risiko, sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.