Benelli 180S 2020 dilengkapi enjin berkapasiti 175.3cc

Untuk pasaran Malaysia, Benelli menawarkan jentera naked 150S yang dilengkapi enjin berkapasiti 149.88cc. Namun untuk beberapa pasaran luar negara, model tersebut dilengkapi enjin dengan kapasiti 175.3cc dan dikenali dengan nama Benelli 180S.

Dengan kapasiti enjin yang lebih besar, Benelli 180S model tahun 2020 menawarkan kuasa maksimum 17.4hp (13kW) @ 9,000rpm dengan tork setinggi 14Nm @ 7,000rpm. Sebagai perbandingan, Benelli 150S hanya mempunyai kuasa maksimum pada angka 13.14hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 12.5Nm @ 7,000rpm.

Spesifikasi pada enjin Benelli 180S juga tidak kurang menariknya apabila dilengkapi kotak gear enam kelajuan, teknologi tiga palam pencucuh yang canggih, sistem suntikan bahan api EFI dan klac tangan untuk tunggangan yang lebih berprestasi.

Ciri-ciri menarik lain yang didatangkan untuk Benelli 180S termasuklah paparan instrumen digital, sistem lampu LED, fork depan USD, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan 260 mm, brek cakera belakang 220 mm dan rim aloi enam bilah dengan tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/80-17 dan 130/70-17.

Berat kering Benelli 180S hanya 147 kilogram, manakala tangki bahan apinya mempunyai isian maksimum 10 liter. Melihat kepada enjin Benelli 180S ini, adalah sangat mengujakan kalau ianya digunakan untuk menaiktaraf enjin moped Benelli RFS150i, demi memberikan lebih saingan kepada model-model lain dalam kelasnya.

(Visited 503 times, 1 visits today)