Benelli 150S merupakan sebuah model naked sport dalam kelas 150cc, dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam bulan September 2019 yang lalu bersama-sama model urban cruiser Benelli 502C 2019. Benelli 150S model tahun 2019 ini telah berada di pasaran tempatan secara rasmi mulai penghujung bulan Oktober 2019 yang lalu.
Tampil dengan perwatakan ringan dan lincah di samping prestasi yang mengujakan, Benelli 150S dikuasakan enjin 149.8cc bersilinder tunggal dengan sistem penyejuk cecair dan suntikan bahan api elektronik. Enjin dengan kotak gear enam kelajuan itu juga dilengkapi sistem penghidup TLI, SOHC dan teknologi tiga palam pencucuh yang canggih. Ini membolehkannya menghasilkan kuasa maksimum 13.14hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 12.5Nm @ 7,000rpm.
Penampilan Benelli 150S kemudiannya dimantapkan lagi dengan kehadiran lampu depan LED, fork depan jenis terbalik, penyerap hentak belakang tunggal, sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, dan rim roda berukuran 17 inci. Tangki minyaknya mempunyai isian maksimum 10 liter, dengan berat kering motosikal naked itu dikatakan hanya 147 kg.
Untuk pasaran Malaysia, Benelli 150S dijual dengan harga RM 8,588.00 untuk varian standard dan RM 8,888.00 untuk varian special edition (tidak termasuk kos insuran dan cukai jalan). Tiga pilihan warna disediakan iaitu Space Black, Lava Red dan Nitron Green. Secara keseluruhannya, Benelli 150S 2019 boleh dikatakan menawarkan gaya rekaan motosikal naked yang menarik dan sporty pada harga yang berpatutan.