Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2021, Ottimo Technologies Sdn. Bhd. telah menyiarkan ucapan mereka sendiri di dalam laman Facebook Ottimo. Menariknya melalui imej yang disiarkan, syarikat pengeluar motosikal tempatan itu seolah-olah telah menyiarkan gambaran rasmi pertama model Ottimo Super Moped 175cc terbaharu.
Melalui paparan imej yang disiarkan itu, kita dapat melihat pandangan hadapan sebuah model moped yang sporty, termasuk rekaan lampu utamanya dan sepasang lampu DRL pada bahagian dada. Namun begitu tidak pasti sama ada ianya masih lagi merupakan lakaran digital semata-mata, atau model versi pengeluaran yang telah siap terpasang.
Ottimo sebelum ini telah mengumumkan bahawa mereka bakal melancarkan sebuah model moped terbaharu tidak lama lagi untuk pasaran tempatan, yang akan dikuasakan enjin bersesaran 175cc. Berdasarkan maklumat terdahulu, Ottimo Super Moped 175cc itu berkemungkinan besar akan dilancarkan di pasaran tempatan pada tahun depan.
Jika model Ottimo Super Moped 175cc itu mempunyai spesifikasi yang sama dengan model-model moped popular lain seperti Honda RS150R, Yamaha Y15ZR dan Yamaha Y16ZR, atau setaraf dengan model Benelli R18i, ditambah pula dengan harganya yang berpatutan, sudah pasti ianya akan mendapat sambutan dan bakal laris di pasaran.








