BMW S 1000 R 2021 kini di pasaran Malaysia, dua varian Style Sport dan M Package, harga bermula dari RM 104,500.00

Pada penghujung tahun yang lepas, BMW Motorrad memperkenalkan model terbaharu BMW S 1000 R 2021 untuk pasaran global. Kini untuk pasaran Malaysia, jentera naked itu telah pun dilancarkan dalam dua varian Style Sport dan M Package, dengan tawaran harga masing-masing RM 104,500.00 dan RM 119,500.00, tidak termasuk insuran.

Menurut BMW Motorrad, BMW S 1000 R diasaskan daripada model supersport BMW S 1000 RR dan menawarkan teknologi inovatif yang sama. Ianya kini tampil lebih dinamik dan lebih berprestasi, di mana enjin empat silinder yang melengkapinya menghasilkan kuasa maksimum 165hp @ 11,000rpm dengan tork maksimum 114Nm @ 9,250rpm.

Untuk mengurangkan kebisingan dan penggunaan bahan apinya, gear 4, 5 dan 6 pada model tersebut kini mempunyai nisbah yang lebih panjang. Sistem ‘self-reinforcing anti-hopping clutch’ pula memastikan operasi kotak gear kini lebih lancar, dan sistem ekzos yang lebih ringan kini telah mematuhi piawaian emisi bertaraf Euro 5 yang lebih ketat.

Ciri-ciri standard yang melengkapi BMW S 1000 R 2021 termasuklah Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro dan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Dynamic. Selain itu ialah kluster instrumen digital TFT bersaiz 6.5 inci dengan ciri sambungan Bluetooth melalui telefon pintar dan juga sistem lampu baharu dengan teknologi LED sepenuhnya.

BMW S 1000 R 2021 dikatakan tampil dengan pengurangan berat yang signifikan iaitu sebanyak 6.5 kg, kepada berat terkini hanya 199 kg sahaja. Melalui tawaran M Package pula, beratnya berjaya dikurangkan lagi sebanyak 4.8 kg. Untuk maklumat selanjutnya dan tempahan, anda boleh menghubungi mana-mana cawangan pengedar berdekatan.