Marshal Toughman 800 rasmi masuk Malaysia, enjin V-Twin 799cc, harga badan RM38,800

Marshal Moto ialah satu lagi motosikal berjenama China diperkenalkan secara rasminya di Malaysia hari ini.

Dua model membuat penampilan ialah Marshal Toughman 800 dan Marshal XS250, masing-masing akan bersaing dalam kategori cruiser di pasaran tempatan.

Artikel ini akan memberi tumpuan penuh kepada Marshal Toughman 800 manakala laporan mengenai cruiser suku liter dipaparkan menerusi pautan ini: Marshal XS250 di Malaysia selepas ini.

Pilihan Warna

Marshal Toughman 800 diperkenalkan dengan dua warna pilihan iaitu biru Cobalt Blue dan hitam Pearl Black. Harga badan untuk cruiser ini adalah RM38,800 seunit.

Spesifikasi Marshal Toughman 800

Jentera berstatus pemasangan tempatan (CKD) ini menggunakan enjin V-Twin (dua silinder) berkapasiti 799cc lapan injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.

Output kuasa atas kertas ialah 35kW pada 6,500rpm (47hp) dengan tork setinggi 61.9Nm pada 5,500rpm. Sistem transmisi klac manual 6-kelajuan beserta pacuan jenis tali sawat.

Fork depan jenis teleskopik biasa dan dipadankan dengan set absober berkembar di belakang boleh laras.

Sistem henti melibatkan cakera tunggal dengan kaliper empat piston untuk roda depan dan belakang. Disertakan sekali ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Rim aloi depan berukuran 19 inci dengan balutan tayar 130/70 jenama CST. Roda belakang 17 inci dipadankan tayar saiz 240/45.

Berat motosikal Marshal Toughman 800 ialah 256kg dan kapasiti tangki minyak pula 13 liter. Tempat duduk setinggi 695mm.

Ukuran panjang motor ini ialah 2,212mm dengan lebar 779mm manakala tingginya pula 1,145mm. Jarak roda 1,525mm.

Instrumen meter berbentuk bulat dengan paparan digital berwarna penuh LCD. Ada soket USB Type-A di sebelah kiri motosikal (bawah tangki minyak). Anak kunci diperlukan untuk mengaktifkan Marshal Toughman 800.

Sistem pencahayaan membabitkan lampu depan projektor dengan gegelung lampu DRL. Lampu brek belakang diintegrasi pada lampu signal.

Belanja Bunyi

Galeri Gambar Marshal Toughman 800