LETBE Mecha: Skuter futuristik bakal diperkenalkan di Malaysia selepas Mforce MotoXperience 2026?

LETBE Mecha ialah salah satu daripada tiga model baharu dibawa Haojin Group ke Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2025.

Skuter ini ditawarkan dengan beberapa pilihan kapasiti enjin iaitu 125cc, 150cc dan 200cc mengikut sesuatu pasaran. Pilihan warna juga tiga iaitu kuning hitam, hitam kuning dan kelabu gelap.

Jenama LETBE ada diperkenalkan Mforce Bike Holdings (Mforce) semasa Mforce MotoXperience 2026 di MAEPS Serdang.

Model ini ada potensi memikat pembeli muda di Malaysia memandangkan skuter rekaan futuristik (mungkin juga vibe cyberpunk atau ekspresi diri) seperti ini kurang dipandang kebanyakan pengeluar lain.

Pun begitu, kita tunggu makluman rasmi daripada Mforce mengenai barisan produk LETBE yang akan diperkenalkan kelak. Ini kerana ada tiga varian LETBE Mecha iaitu kelas 125cc, 150cc dan 200cc.

Kami sempat melihat model berkapasiti 150cc LETBE Mecha ini di bilik pameran di Ibu Pejabat Guangzhou Haojin Motorcycle Co., Ltd. (Haojin Group) di China. Antara keunikan skuter ini ialah:

  • Reka bentuk bersegi dengan latar pencahayaan multi-warna di belakang teks LETBE pada panel sisi-depan dan panel belakang skuter.
  • Skuter ini diaktifkan dengan menekan butang pada konsol kawalan sebelah kanan hendal. Ada tempat memasukkan anak kunci di dalam glove box sebelah kanan.
  • Glove box sebelah kiri menempatkan dua soket USB iaitu Type-A dan Type-C dan satu soket 12V.
  • Sistem pencahayaan yang digunakan jenis LED sepenuhnya.
  • Meter jenis TFT berwarna siap dengan sambungan kamera dashcam di bahagian hadapan.

Spesifikasi LETBE Mecha 150 adalah seperti berikut:

  • Enjin satu silinder 150cc 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Output kuasa 11.8kW pada 8,500rpm dan tork 14.7Nm pada 6,500rpm.
  • Transmisi automatik CVT dengan pacuan tali sawat.
  • Fork teleskopik konvensional dan set absober berkembar bersama sub-tangki.
  • Rim aloi 14 inci depan berbalut tayar saiz 110/70, rim aloi belakang 13 inci tayar 130/70.
  • Brek cakera depan dan belakang dengan kaliper Nissin. Ada Brek ABS dan Kawalan Cengkaman (TCS).
  • Tangki minyak 11.8 liter.
  • Tinggi tempat duduk 766mm.
  • Jarak bumi 147mm.
  • Jarak roda 1,323mm.
  • Panjang 1,910mm.
  • Lebar 745mm.
  • Tinggi 1,170mm.
  • Berat bersih 145kg.

Artikel: LETBE NEON Q: Skuter 125cc ada TCS, ABS, Meter TFT Berwarna, Lampu LED bakal masuk Malaysia?

Galeri Gambar LETBE Mecha 150