
Seperti diketahui, Mforce Bike Holdings (Mforce) sudah memeterai perjanjian persefahaman dengan Guangzhou Haojin Motorcycle Co., Ltd. untuk jadi pengedar rasmi jenama LETBE di Malaysia.
Ada beberapa model LETBE akan diperkenalkan di Malaysia dan salah satunya ialah skuter kapasiti kecil LETBE Neon berkapasiti 125cc.

LETBE Neon dengan rona putih biru dan kuning ada dipertonton semasa acara Mforce MotoXperience 2026 semasa Malaysia Bike Show (MBS) 2026 di MAEPS Serdang.
Kalau diperhatikan, model skuter berwarna kuning itu ada beberapa perbezaan dengan model biru putih.
LETBE Neon warna kuning ini adalah versi lebih segar dengan beberapa ciri peningkatan selain kemas kini rekaan panel depan berbanding model biru putih.
Perubahan lain ialah skuter Neon kuning dapat meter TFT berwarna penuh, sistem pencahayaan LED dengan DRL baharu, soket USB Type-A dan beberapa ciri lain.
Beberapa hari lalu, akaun media sosial LETBE Motor kongsi video acah menunjukkan varian terbaharu NEON yang dipanggil NEON Q.
NEON Q dalam video itu nampak sama macam NEON kuning yang anda lihat di halaman ini. Galeri foto penuh kami sediakan di hujung artikel.
Ada beberapa ciri LETBE NEON Q memberi kelebihan untuk bersaing dengan model sekelas lain dalam pasaran Malaysia. Antaranya:
- Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh diaktifkan atau dipadamkan
- Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Meter TFT 5 inci berwarna dilengkapi sensor sesentuh (touch sensor) untuk ubah tetapan
- Indikator minyak dengan paparan macam 3 dimensi (3D)
- Ada laporan di China mendakwa meter ada fungsi mirroring untuk navigasi
Skuter kecil ini dilengkapi enjin silinder tunggal 125cc dengan sistem sejukan udara dan dipercayai mampu menghasilkan output kuasa 9.3hp @ 7,500rpm dan tork 10Nm pada 5,500rpm.
Kapasiti tangki minyak dikatakan 6 liter yang boleh menawarkan jarak tunggangan antara 250km hingga 270km. Tinggi tempat duduk cuma 740mm dan berat skuter 108kg.
Dimensi panjang 1,810mm, lebar 705mm dan tinggi 1,130mm. Jarak bumi 125mm.
Rim digunakan 12 inci dengan saiz tayar 110/90-12.




















