
Hampir sebulan lalu, kami ada laporkan pengumuman Yamaha Jepun berhubung tawaran tiga warna baharu untuk sportbike R25 dan R3 edisi 2026.
Kini, tiba pula giliran Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melakukan pendekatan sama tetapi hanya dua warna untuk sportbike Yamaha YZF-R25.
2 Warna Baharu Yamaha YZF-R25 2026
Dua warna untuk bakal pembeli di Malaysia ialah hijau (Mint Green) dan biru (Icon Blue). Tiada warna hitam disediakan seperti pasaran Jepun.
Ini huraian HLYM untuk dua warna terbaharu R25
- Icon Blue – warna ikonik Yamaha menyerlahkan DNA perlumbaan R-Series
- Mint Green – warna moden dengan sentuhan unik dan berani
Masih Kekal Harga Lama YZF-R25
Satu aspek positif ialah HLYM mengekalkan cadangan harga badan Yamaha YZF-R25 edisi 2026 sama seperti tahun sebelumnya iaitu RM23,098 seunit.
Ini masih tidak dikira kos insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.
Model dengan warna terbaharu ini boleh didapati menerusi semua pengedar sah Yamaha di
seluruh negara bermula 21 April 2026.
Ada Apa dengan Yamaha YZF-R25?
Yamaha YZF-R25 mewarisi DNA R-Series, menggabungkan prestasi dan gaya sporty dalam pakej yang lebih agresif dan moden.
Enjin 2-silinder sebaris 249cc DOHC mampu hasilkan kuasa 26.4kW (35.4hp) pada 12,000rpm. Tork puncak 22.6Nm @ 10,000rpm.
YZF-R25 dilengkapi beberapa ciri menarik seperti:
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Sistem pencahayaan LED penuh
- Rekaan tempat duduk dan panel sisi lebih tirus
- Ada Assist & Slipper Clutch (A&S)
- Boleh sambung Y-Connect



















