Yamaha TMAX Tech Max (2026) dapat warna baru, harga badan masih RM75,888

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan satu warna baharu untuk skuter maxi Yamaha TMAX Tech Max edisi 2026 iaitu Crystal Graphite (kelabu gelap).

TMAX Tech Max dengan skim warna baharu itu sudah boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Yamaha Big Bikes. Harga badan skuter itu ialah RM75,888.

Tag harga itu adalah sama seperti model TMAX Tech Max yang dilancarkan di MAEPS Serdang semasa Malaysia Autoshow 2025. Pun begitu, harga itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Semasa pameran tersebut, HLYM menampilkan Yamaha TMAX Tech Max (2025) dengan pilihan warna Ceramic Grey (kelabu lembut) dan Magma Black (hitam).

Melihat pada maklumat semasa, Crystal Graphite menggantikan pilihan warna Magma Black untuk tahun 2026.

Semenjak kemasukan ke Malaysia tahun lalu, Yamaha TMAX Tech Max hadir dengan reka bentuk wajah fairing hadapan yang lebih kemas.

Pembaharuan juga diberikan pada bahagian lampu hadapan. Siap ada lampu siang (DRL) berbentuk huruf ‘T’.

Aspek teknologi tunggangan juga dipertingkat dengan adanya Sistem Kawalan Jelajah (Cruise Control), Kawalan Cengkaman (Traction Control), Kawalan Brek, Lampu Henti Kecemasan (ESS) dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS). Tidak lupa juga sambungan Y-Connect.

Tempat duduk direka semula dan menerima balutan tekstur baharu.

Menyentuh aspek enjin, Yamaha TMAX Tech Max masih menggunakan nadi dua silinder sebaris 562cc DOHC 4-injap dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api (FI).

Output kuasa 47hp @ 7,000rpm dan tork 55Nm @ 5,250rpm. Kotak gear digunakan jenis automatik CVT dengan pacuan akhir jenis tali sawat (V-Belt).

Skuter sebera 221kg itu memiliki ukuran panjang 2,195mm, lebar 780mm dan tinggi 1,585mm. Jarak roda pula 1,575mm manakala jarak bumi adalah 135mm.

Tinggi tempat duduk ialah 800mm. Skuter ini boleh menampung bekalan petrol sehingga 15 liter. Saiz rim aloi kekal 15 inci dengan balutan tayar 120/70 (depan), dan 160/60 (belakang).

Sistem henti disandarkan kepada brek cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di roda belakang.