
Sabtu lalu, kami bersama sekumpulan media permotoran dijemput untuk satu majlis makan tengah hari bersama barisan pengurusan AFY Mobility industries (AMI) – termasuk mereka dari AFAZ, Suzuki, Moda dan Indian Motorcycles.
Ada 3 perkara utama sepanjang sesi makan tengah itu dengan dua program bermula sebelum makan tengah hari dan disambung dengan satu program akhir di pekarangan kilang mereka di Glenmarie. Ini programnya:
- Pembentangan mengenai AFAZ
- Tontonan eksklusif model supermoped AFAZ 150
- Sesi tunggang uji sistem klac auto ciptaan AMITEC
Artikel ini kami akan fokus kepada model supermoped AFAZ. Namun, perlu dimaklumkan, tiada gambar atau video dibenarkan untuk rakaman. Setiap telefon akan disimpan wakil AMI untuk mengelakkan rahsia penuh ‘terbocor’.
Model supermoped AFAZ 150 itu sudah siap tetapi ditanggalkan semua panel badan, instrumen meter dan sistem lampu motosikal. Malah konsol butang kawalan juga dibalut dengan plastik hitam.

Apa yang terdedah hanya frem dan swingarm motosikal, enjin dan sistem transmisi, sistem suspensi depan belakang, roda depan dan belakang, ekzos dan sistem pendawaian motosikal.
Kru kami cuba kongsikan apa yang dilihat dalam tempoh masa terbatas. Antaranya:
- Frem motosikal jenis tiub berkembar yang bersambung dari depan hingga ke bahagian pangsi (pivot) swingarm. Frem adalah buatan sendiri.
- Akan ada sebahagian frem dengan bentuk seperti trellis dibiarkan terdedah dipercayai membabitkan bahagian subbingkai (sub frem).
- Enjin dipilih untuk supermoped ini diambil daripada Suzuki GSX-R 150 tetapi akan dapat talaan baru untuk membezakannya daripada sportbike asal dan Suzuki Raider R150Fi.
- Tiada maklumat mengenai jenis talaan tetapi diyakini prestasi/kuasa/kelajuan akan jadi diutamakan.
- Kotak gear 6-kelajuan manual.
- Unit enjin menjadi struktur penting dan menjadi sebahagian struktur penting frem supermoped. Ada dua sub bingkai sisi memegang bahagian tepi enjin.
- Susunan ini membantu menurunkan berat keseluruhan motosikal, menguatkan ketegaran dan menambah baik pusat graviti untuk kendalian lebih baik.
- Buat masa ini, fork teleskopik biasa (belum lagi USD) tetapi menggunakan triple clamp besar untuk mengapit tiub fork berdiameter lebar.
- Monoshock belakang nampak agak menegak tetapi diposisikan lebih rendah.
- Tangki minyak 5.8 liter.
- Semua komponen pendawaian utama dipindahkan ke bahagian depan untuk memudahkan kerja-kerja baik pulih kemudian hari.
- Rim aloi depan belakang bersaiz 17 inci dengan profil tayar 90 dan 120.
- Sistem brek jenis cakera kaliper 2 piston depan dan kaliper 1 piston belakang. Tiada jenama kaliper dipaparkan.
- Model prototaip hanya ada ABS untuk roda depan. Belakang tiada ABS…. mungkin akan ditambah?
- Pelana bersambung antara penunggang dan pembonceng tetapi dibezakan dengan 2 peringkat ketinggian. Pelana nampak agak nipis untuk pembonceng.
Ini pula maklumat diperoleh menerusi perbualan dengan beberapa sumber dan pengumuman dalam taklimat:
- Memang ada sistem auto klac. Perbincangan awal menandakan komponen itu akan ditawarkan sebagai opsyen dan bukannya standard keluaran kilang. Bagaimanapun, ini mungkin berubah..
- Tarikh paling awal menyaksikan pelancaran model ini ialah enam bulan dari sekarang. Mungkin bulan Julai atau Ogos.
- Motor ‘boleh cakap’ dengan penunggang. Mungkin akan dilengkapi instrumen meter moden TFT, arahan suara dan akses sambungan pada telefon pintar menggunakan Bluetooth serta aplikasi lain.
- Memang ada perancangan untuk supermoped 150 klac auto.

