KTM hentikan jualan KTM RC 390 di seluruh dunia kecuali di India kerana…..

KTM RC 390

KTM akan menarik keluar model sportbike KTM RC390 dari semua pasaran di seluruh dunia kecuali India.

Model KTM RC 390 itu terpaksa ditamatkan tawaran kerana terlalu sukar untuk bersaing di pasaran dan jualannya kurang memberangsangkan selepas lebih sedekad berada di pasaran.

Bukan hanya jualan menghampakan, pelaburan untuk memastikan enjin sportbike itu patuh piawaian emisi Euro 5+ itu akan memburukkan lagi nasib sportbike KTM.

Ini kerana ‘belanja’ patuh Euro 5+ ini akan memberi kesan langsung kepada kos dan harga jualan motosikal KTM RC 390 akan jadi lebih mahal.

Jentera kurang laris tapi berdepan kenaikan harga jualan? Ini bukan satu petanda yang baik apatah lagi lambakan produk berjenama China mula membanjiri industri roda dua.

Lain pula ceritanya di India. KTM akan terus menawarkan sportbike KTM RC 390 di India kerana pengguna di sana masih meminati model tersebut.

Malah jualan yang tinggi di India itu sebenarnya adalah bantuan kepada kelangsungan pengeluaran model RC 390 di situ.

Jika anda masih ingat, KTM yang hampir muflis itu juga diselamatkan pengeluar automotif dari India iaitu Bajaj.

Dalam keluarga KTM 390, model naked Duke diperkenalkan dua tahun lebih awal sebelum kemunculan sportbike RC pada 2014.

KTM RC 390 banyak menggunakan komponen Duke 390 dan menerima naik taraf sepanjang hayatnya. Antaranya ialah meter TFT, komponen elektronik dan peningkatan sistem penyejukan cecair enjin pada tahun 2022.

Belum ada cerita tentang nasib empat varian lain dalam siri KTM 390 iaitu 390 Enduro R, 390 SMC R, 390 Adventure R dan X.