#EICMA2025: Apa anda perlu tahu tentang Suzuki SV-7GX (2026)

Suzuki memilih pameran motosikal berprestij – Pameran Motor Milan (EICMA) 2025 untuk memperkenalkan model terbaru mereka iaitu Suzuki SV-7GX (2026).

Bukan satu model 100 peratus baru tetapi sebahagiannya datang dari model naked Suzuki SV650. Secara asasnya, ini ibarat SV650 bertukar jadi crossover tapi ada perubahan sini sana.

Model SV-7GX mengejutkan ramai peminat kerana siapa sangka enjin SV650 yang dijangka ditamatkan riwayat kembali ‘bernyawa’. Bukan itu sahaja, Suzuki juga membuat talaan semula enjin V-Twin itu untuk patuh standard Euro 5+.

Mungkin ramai mengharapkan enjin baru kelas 700cc atau setidak-tidaknya enjin daripada siri GSX-8. Pastinya, Suzuki Jepun ada alasan sendiri menggunakan enjin SV650. Mari kita lihat serba sedikit tentang Suzuki SV-7GX.

ADA 3 WARNA SV-7GX

  • Pearl Brilliant White / Metallic Triton Blue (BQJ)
  • Pearl Mat Greige (Q2A)
  • Glass Sparkle Black (YVB)

SIAPA PESAING SV-7GX

  • Yamaha Tracer 7
  • Triumph Tiger Sport 660
  • Kawasaki Versys 650
  • Honda NC750X

PERINCIAN SUZUKI SV-7GX

Ada saluran pengambilan baharu yang dikawal oleh pendikit minyak elektronik ride-by-wire. Ini membolehkan SV-7GX menerima lebih banyak ciri bantuan moden seperti mod kuasa, kawalan cengkaman dan quickshifter 2 hala.

Ekzos adalah unit baharu yang ada tambahan sensor oksigen untuk memastikan pengubah pemangkin (catalytic converter) penuhi syarat Euro5+.

Ada sistem Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan tiga pemetaan enjin iaitu Active, Basic dan Comfort (A, B dan C).

Quickshifter 2 hala mempercepatkan kemasukan dan penurunan gear tanpa perlu menggunakan klac tangan.

Selain itu, SV-7GX juga dilengkapi Sistem Easy Start Suzuki dan Low RPM Assist untuk memudahkan enjin motosikal dihidupkan dan mencegah enjin mudah mati.

Rekaan sub-bingkai belakang (rear subframe) ada mengambil kira faktor bagasi dan daya ketahanan dalam proses rekaannya.

Fork depan SV-7GX kekal standard 41mm sama macam SV650 dan tidak boleh dilaras. Absober belakang jenis monoshock serta boleh laras tujuh tahap prabeban.

Sistem brek juga datang daripada SV650 iaitu cakera berkembar 290mm beserta kaliper Tokico 4-piston. Brek belakang cakera tunggal 240mm kaliper satu piston.

Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 -saluran.

Rim aloi rekaan baharu jenis 10 jejari bersaiz 17 inci.

Tayar depan 120/70-17 dan tayar belakang 160/60-17. Jenama tayar standard digunakan ialah Pirelli Angel GT II.

Berat SV-7GX ialah 211kg iaitu 11kg lebioh berat dari SV650.

Posisi tunggangan berbeza dari SV650 dan Suzuki V-Strom 650. Ini disebabkan posisi bar hendal yang kini lebih tinggi dan kebelakang berbanding SV650. Peg kaki pula lebih rendah dari V-Strom.

Penghadang angin (windshield) boleh laras tiga tahap dengan jumlah jarak bergerak 50mm. Ada gard tangan sebagai ciri standard.

Tangki minyak lebih besar iaitu 17.4 liter berbanding SV650 (14.5 liter).

Ketinggian pelana 795mm iaitu lebih tinggi 10mm berbanding SV650.

Instrumen meter jenis skrin TFT berwarna berukuran 4.2 inci dan boleh disambung kepada telefon melalui Bluetooth. Sambungan untuk melihat perincian panggilan telefon masuk, teks, muzik, cuaca dan navigasi arah-ke-arah (turn-by-turn).

Ada soket USB Type-C.

Sistem pencahayaan LED projektor untuk bahagian depan, lampu LED brek belakang dan juga lampu signal belok. Ada dua jalur lampu DRL LED.

SPESIFIKASI SUZUKI SV-7GX

  • Panjang 2,160mm
  • Lebar 910mm
  • Tinggi 1,295mm
  • Jarak roda 1,445mm
  • Jarak bumi 135mm
  • Tinggi tempat duduk 795mm
  • Berat kasar 211kg
  • Enjin 2-silinder V-Twin DOHC dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api
  • Gerek x lejang 81mm × 62.6mm
  • Kapasiti 645cc
  • Nisbah mampatan  11.2:1
  • Kotak gear klac manual 6-kelajuan
  • Fork depan teleskopik biasa, absober monoshock belakang
  • Tangki minyak 17.4 liter