
MForce Bike Holdings (MForce) tidak bercadang kekal sepenuh masa sebagai pemasang dan pengedar motosikal di Malaysia.
Firma itu sudah memulakan langkah ke peringkat global dan ini termasuk memiliki pegangan dalam satu jenama motosikal terkemuka Eropah. Ini masih diperingkat perbincangan.
Seiring dengan minggu Pameran Motor Milan (EICMA) 2025, MForce turut mengadakan satu lawatan kerja untuk bertemu Keeway Group di Eropah. Ini boleh diibaratkan sebagai misi ‘serampang banyak mata’.
MISI LAWATAN KERJA MFORCE-KEEWAY
Ini adalah antara beberapa perkara yang terkandung dalam misi pengurusan MForce mengadakan lawatan ke Keeway Group di Barcelona, Sepanyol.
- Memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara MForce-Keeway Group
- Teroka peluang kerjasama masa hadapan bersama rakan kongsi globalnya itu
- Adakan perbincangan strategik yang fokus kepada pembangunan model baharu
- Turut dibuncangkan ialah kerjasama teknologi dan rancangan pengedaran serantau di Asia Tenggara.
- Timba ilmu dan nasihat Keeway Group tentang peningkatan kualiti perkhidmatan selepas
jualan yang mereka amalkan di Eropah.
MENGAPA KEEWAY EROPAH?

- Keeway Group ada beberapa cawangan utama di rantau Eropah termasuk di Barcelona.
- Ibu pejabat di Barcelona juga berperanan sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan pemasaran untuk pasaran antarabangsa.
- Premis tersebut dilihat sebagai tunjang utama dalam inovasi dan reka bentuk model-model motosikal baharu Keeway Group.
MFORCE TERAP AMALAN TERBAIK
Delegasi lawatan MForce itu diketuai Ketua Pegawai Operasi, Asri Ahmad bersama beberapa ahli pengurusan kanan syarikat.
Mereka juga menghadiri taklimat Keeway Group, melawat beberapa fasiliti utama termasuk pusat reka bentuk, makmal pembangunan produk dan jabatan kawalan kualiti.
Apa yang mereka pelajari di Barcelona akan untuk disesuaikan ke Malaysia dan melaksanakan amalan terbaik untuk pasaran tempatan.
MForce melihat langkah ini penting untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan serta memperkukuh lagi kepercayaan pengguna terhadap jenama di bawah naungan mereka.
APA KATA ORANG KUAT MFORCE?
Asri menjelaskan lawatan kerja itu bukan hanya memperkukuh hubungan jangka panjang MForce-Keeway Group tetapi juga membawa manfaat lain seperti membuka ruang kepada perkongsian teknologi, inovasi dan peningkatan kejuruteraan produk.
Beliau berkata:
“Melalui kerjasama ini, MForce berhasrat untuk terus menawarkan motosikal berkualiti tinggi dan berprestasi kepada pengguna di Malaysia serta rantau ini.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen MForce untuk terus memperkukuh hubungan strategik antarabangsa serta meningkatkan tahap inovasi dalam industri motosikal tempatan.
“Kerjasama rapat dengan Keeway Group membolehkan kami membawa teknologi dan rekaan bertaraf dunia kepada pelanggan kami.”
“Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Sebelum ini, MForce sedang
membuat perancangan untuk memiliki pegangan ke atas sebuah jenama motosikal
terkenal dari Eropah.“Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk memperluas kehadiran di pasaran global dan membawa kepakaran Eropah ke dalam pembangunan produk MForce.”












