Yamaha Motor Malaysia tampil ‘Revs of the Rising Wind’ dan konsep ‘Yama-bara’ sempena MotoGP Malaysia 2025

Memang lain dari lain. Itulah ruang pameran Yamaha Motor Malaysia di kawasan Mall Area sempena Kejohanan MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas hujung minggu lalu.

Yamaha Motor Malaysia menampilkan gaya mereka yang yang mungkin digemari ramai anak muda dengan tema ‘Revs of the Rising Wind’ dan konsep ‘Yama-bara’ — Inspirasi dari Akihabara.

Berdasarkan maklumat yang diterima, konsep rekaan ruang pameran Yamaha ini mengambil inspirasi dari budaya terkenal Akihabara di Jepun iaitu tempat yang sentiasa berubah, hidup dengan trend terkini dan budaya pop.

Dalam istilah ringkas: gaya anime.

APA ITU YAMA-BARA?

Sebelum bercerita apa yang ada dalam ruang pameran mereka, mungkin kita perlu ketahui apa sebenarnya Yama-Bara? Yamaha Motor Malaysia berkata:

“‘Yama-bara’ mencerminkan semangat Yamaha sebagai jenama yang sentiasa bergerak ke hadapan, mendorong inovasi dan mencipta arah baharu.

Yamaha bukan sekadar motosikal – ia adalah simbol kebebasan dan gaya hidup.”

Motosikal Sebagai Identiti Diri

  • Yamaha Motor Malaysia mengakui motosikal bukan lagi sekadar satu alat pengangkutan dan sudah menjadi cerminan personaliti dan gaya hidup terutamanya dalam kalangan generasi muda.
  • Jadi, kalau diserasikan dengan tema tahun ini, ada beberapa model dalam siri Yamaha R diselubungi corak anime! Ini membabitkan jentera superbike M1, R1, R7 sehingga sportbike R25 dipamerkan.
  • Lukisan anime ini dibuat oleh artis tempatan. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan seni lukisan secara langsung pada model R25 di hadapan ruang pameran Yamaha.

Apa Lagi Ada?

  • Ada beberapa aktiviti interaktif disediakan seperti Maid Café, DDR Dance, Mocaha Battle, Taiko Challenge dan Touge Battle.

Motosikal: Dunia Tanpa Batasan

  • Motosikal bukan sekadar tentang enjin, kelajuan dan jentera. Kata Yamaha Motor Malaysia:

“Ia merupakan sebuah dunia yang penuh peluang – ruang untuk berkarya, berimaginasi dan mengekspresikan diri.”