Modenas Elit 150S (2025) muncul dengan 2 warna menarik, harga badan RM7,877

Modenas sudah memuat naik maklumat mengenai satu model skuter terbaharu mereka di laman web syarikat itu sejak petang hari ini. Model itu ialah Modenas Elit 150S (2025) yang ditawarkan dengan harga badan RM7,877.

Nama Elit bukan baru dalam sejarah Modenas kerana syarikat motosikal nasional itu pernah melancarkan skuter dengan nama Modenas Elit pada tahun 2003 bersama model Ceria dan motosikal 2-lejang Dinamik.

Bagaimanapun, Modenas Elit 150S (2025) kini nampak jauh lebih menarik dan moden, dijangka dapat menarik minat pencari skuter dan peminat jenama Modenas.

Berdasarkan laman web Modenas, skuter Elit 150S akan ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu Riviera Blue (biru lembut) dan Quantum Grey (kelabu).

Apa ada pada Modenas Elit 150S (2025)?

Sistem pencahayaan LED penuh

  • Modenas Elit 150S (2025) dilengkapi sistem pencahayaan LED penuh dengan lampu depan LED berkembar, ada lampu DRL dan lampu belakang tampak lebih menawan.

Lampu kecemasan

  • Modenas Elit 150S (2025) dilengkapi lampu kecemasan sebagai tujuan menambah baik keselamatan di jalan raya.

Sistem brek cakera depan-belakang

  • Skuter 150cc terbaru Modenas ini menggunakan brek cakera 230mm di hadapan dan belakang.

Ada sistem kekunci pintar

  • Modenas Elit S (2025) menawarkan sistem kekunci pintar seiring dengan perkembangan semasa segmen skuter.

Tangki minyak besar

  • Modenas Elit 150S memiliki tangki minyak sebesar 12 liter dan menawarkan jarak tunggangan sejauh 480km dengan setiap isian penuh. Syaratnya, kelajuan tunggang perlu bawah 80 kilometer sejam.

Meter digital

  • Modenas Elit 150S dilengkapi skrin meter digital jenis LCD.

Soket kuasa dan poket simpanan

  • Ada soket disediakan dalam poket simpanan untuk penunggang mengecas telefon mereka dan menyimpan barangan kecil.

Ruang simpanan besar

  • Ruang simpanan bawah pelana skuter Modenas Elit 150S adalah sebesar 23 liter.

SPESIFIKASI MODENAS ELIT 150S

Ini adalah perincian spesifikasi Modenas Elit 150S yang tertera di laman web Modenas:

  • Enjin silinder tunggal 149cc SOHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan sistem suntikan bahan api.
  • Gerek x lejang: 57.3mm x 57.9mm
  • Nisbah mampatan: 11:1
  • Kuasa maksimum: 10.5kW @ 8,250rpm (14hp)
  • Tork maksimum: 13.5Nm @ 6,750rpm
  • Penghidup enjin: butang pemula
  • Tangki minyak: 12L
  • Transmisi jenis automatik CVT (V-Belt)
  • Panjang: 1,970mm
  • Lebar: 740mm
  • Tinggi: 1,160mm
  • Jarak roda: 1,390mm
  • Jarak lega bumi:  160mm
  • Tinggi pelana:  770mm
  • Berat kasar:  137kg
  • Frem: Backbone
  • Suspensi depan: fork teleskopik
  • Suspensi belakang: Absober berkembar
  • Tayar depan 110/70 – 13
  • Tayar belakang 130/70 – 13
  •  ̶S̶i̶s̶t̶e̶m̶ ̶A̶B̶S̶ ̶s̶a̶t̶u̶ ̶s̶a̶l̶u̶r̶a̶n̶. Gelung pada rim depan itu adalah sensor kelajuan. Bukannya ABS.
  • Soket USB Type-A