CIMA Motor 2026: Ada apa dengan skuter prototaip ZXMOTO 250T ADV?

Zhang Xue ada menceritakan rancangan untuk menawarkan dua model skuter iaitu kelas 250cc dan 350cc pada satu sidang media khas di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, produk pertama merupakan skuter adventure 250cc yang akan diperkenalkan tahun depan, disusuli skuter 350cc menjelang pertengahan tahun 2028.

Salah satu model skuter itu nampaknya ada di bawa ke Pameran Perdagangan Antarabangsa Motosikal China (CIMA Motor) 2026.

Berdasarkan laporan media di China, model berwarna biru perak itu adalah prototaip 250cc yang masih di peringkat pembangunan.

Banyak juga perbincangan bangkit berhubung reka bentuknya, ada yang menyifatkan bentuk skuter ZXMOTO 250T ADV itu sebagai ‘bukan konvensional’… terutamanya wajah depan.

Ada penghadang angin memanjang ke atas. Ada paruh di antara lampu depan jenis terpisah di sebelah kiri dan kanan. Di atas paruh, nampak seperti ada lampu DRL.

Macam kepala sejenis burung? Ada juga kata nampak sedikit sebanyak macam Platipus. Apapun, cantik atau tak cantik itu berbeza untuk setiap individu. Lagipun statusnya masih sebuah prototaip… benda boleh berubah.

Reka bentuk bahagian tepi dan belakang nampak lebih menarik dan agresif. Jadi, mari kita tengok apa yang diterapkan pada prototaip skuter adventure 250cc ZXMOTO.

  • Instrumen meter jenis skrin digital saiz besar.
  • Ada soket USB diposisikan di bawah meter LCD.
  • Konsol butang kiri ada banyak butang kawalan. Antaranya tetapan Kawalan Jelajah (Cruise Control), lampu pintasan (bypass) dan lampu kecemasan (Hazard).
  • Ada butang mode di konsol kawalan sebelah kanan.
  • Cermin sisi diikat pada bar hendal.
  • Menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci (keyless).
  • Tuil brek tangan kiri (brek belakang) ada fungsi seperti brek parkir.
  • Tuil brek kanan (brek depan) boleh dilaras.
  • Ada kamera dashcam depan dan belakang.
  • Fork jenis USD dipercayai tidak boleh laras.
  • Absober tunggal (monoshock) boleh laras diikat pada sebelah kiri swingarm aluminium.
  • Pacuan digunakan jenis tali sawat untuk menggerakkan roda belakang.
  • Bar pembonceng jenis tidak bersambung antara sebelah kiri dan kanan.
  • Muffler ekzos jenis naik ke atas.
  • Rim aloi depan jenis berbilang jejari berukuran 15 inci dibalut tayar 120/70.
  • Rim belakang 14 inci dengan tayar saiz 140/70.
  • Brek cakera depan dan belakang, dipercayai ada ABS dan Kawalan Cengkaman.
  • Pelana ada perehat belakang untuk penunggang.
  • Enjin diposisikan di bahagian tengah (mid-engine). Ini mungkin didorong faktor keseimbangan dan kestabilan.
  • Min-engine mungkin mengorbankan ruang simpanan bawah tempat duduk.
  • Lampu signal belakang jenis capang, terpisah dengan lampu brek.

Artikel Berkaitan: