Pada Ogos 2003, Modenas Dinamik 120 dilancarkan

Pada tarikh 23hb. Ogos 2003, Modenas secara rasminya telah melancarkan Modenas Dinamik 120, sebuah model moped terbaharu dengan enjin dua lejang 120cc. Majlis pelancaran model berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, bertempat di Legend Hotel, Kuala Lumpur.

Dalam majlis pelancaran itu, turut dilancarkan ialah dua model skuter terbaharu iaitu Modenas Elit 150 dan Modenas Ceria 100, masing-masing dilengkapi enjin 150cc dan 100cc. Pengerusi DRB-HICOM dan Modenas, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Mohd Saleh Sulong berkata, dengan pelancaran model-model tersebut, Modenas menjangkakan peningkatan sehingga 2,500 ke 3,000 unit sebulan bagi jumlah jualan keseluruhan.

Modenas Dinamik 120 akan memulakan jualan mulai pertengahan Oktober, pada harga tidak melebihi RM 6,200.00. Bagi Modenas Elit 150, harganya bermula dari RM 5,538.00 dan jualannya bermula pada hari pelancaran. Modenas Ceria 100 akan memulakan jualannya pada pertengahan September, dan harganya dikatakan tidak melebihi RM 4,700.00.

Bagi ketiga-tiga model baharu yang dilancarkan itu, Modenas bekerjasama dengan rakan teknikalnya – Kawasaki Heavy Industries Ltd dan Taiwan’s Motive Powers Industries Ltd. Modenas melancarkan motosikal pertamanya Modenas Kriss 110cc dalam tahun 1996, diikuti oleh Modenas Jaguh pada tahun 1999. Skuter pertama keluarannya Modenas Karisma 125 kemudiannya dilancarkan pada Januari 2003.