Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) dilancarkan di India, harga bermula dari RM7,145

Yamaha FZ150i sudah tidak lagi dikeluarkan kilang Hong Leong Yamaha di Malaysia semenjak tahun 2017-2018.

Tapi di Indonesia, motosikal street bike ini yang menggunakan nama Yamaha Vixion masih dijual sehingga kini.

Di India, siri Yamaha FZ ialah pilihan produk motosikal paling besar disediakan Yamaha Motor India.

Baru-baru ini, Yamaha Motor India melancarkan satu lagi varian iaitu Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) dan ini menjadikan ada tujuh varian FZ di India.

Menariknya, Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) adalah sama seperti namanya – hibrid. Motosikal ini dijulang sebagai motosikal hibrid pertama di India untuk segmen 150cc.

Harga untuk Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) ialah 144,800 rupee (sekitar RM7,145). Motosikal ini menggabungkan teknologi hibrid ke dalam platform FZ-S untuk membentuk Yamaha FZ-S Fi Hybrid.

Motosikal ini dtambah seunit motor Smart Motor Generator (SMG) dan sistem Stop & Start (SSS). Motor SMG yang mendapat kuasa dari bateri akan membantu dari segi:

  • Pecutan motosikal
  • Mengurangkan beban ditanggung enjin semasa berhenti dan mula bergerak.

SMG akan cas balik bateri tadi semasa motosikal sedang bergerak. Proses ini bolehkan bateri terus memiliki kuasa untuk dihantar balik ke SMG (bantu operasi apabila motosikal berhenti).

Sistem Stop & Start (SSS) sama macam skuter-skuter lain yang ada teknologi ini iaitu mematikan dan menghidupkan semula enjin ketika motosikal tidak bergerak – contohnya berhenti semasa lampu trafik merah.

Sistem hibrid ini bertindak membuatkan Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) lebih cekap gunakan petrol atau lebih menjimatkan. Tapi… Yamaha Motor India tak ada kongsikan berapa banyak penjimatannya.

Motor Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) ini ada beza sedikit dengan model FZ lain di India. Perubahannya ialah lampu signal depan dimasukkan dalam panel sisi motosikal, tangki minyak rekaan baru, bar tangan (hendlebar) dan suis kawalan.

DATA TEKNIKAL (SPESIFIKASI)

  • Yamaha FZ-S Fi Hybrid (2025) dijual dengan dua warna: Cyan Metallic Grey dan Racing Blue.
  • Enjinnya satu silinder 149cc SOHC 2-valve dengan penyejukan udara (air-cooled) memberikan kuasa 9.1kW @ 7,250rpm dan tork 13.3Nm @ 5,500rpm.
  • Motosikal menggunakan teknologi suntikan bahan api dan kotak gear 5 kelajuan dengan klac tangan.
  • Lampu depan dan belakang LED
  • Meter TFT berwarna dengan Turn by Turn Navigation & Music Control. Boleh sambung Y-Connect
  • Fork teleskopik dan absober monoshock boleh dilaras 7 tahap
  • Roda dapat tambahan Traction Control System.
  • Tayar depan 100/80-17
  • Tayar belakang 140/60-17
  • Brek depan cakera 282mm ada ABS
  • Brek belakang cakera 220mm tak ada ABS
  • Panjang 2,000mm
  • Lebar 780mm
  • Tinggi 1,080mm
  • Jarak antara roda 1,330mm
  • Berat kasar 138kg
  • Tangki minyak 13 liter
  • Jarak dari bumi 165mm
  • Tinggi tempat duduk 790mm