Aveta Ranger Cub Cross 115 2024 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga dari RM 4,988.00

Aveta Motor Malaysia kini dengan rasminya memperkenalkan model kapcai adventure terbaharu Aveta Ranger Cub Cross 115 2024. Model tersebut berada di posisi tengah antara model Aveta Ranger 110 dan Aveta Ranger Max Explorer. Dua varian ditawarkan iaitu Standard dan Special Edition, masing-masing tampil dengan skim warna Hunter Green dan Desert Storm.

Selain perbezaan warna, kedua-dua varian tersebut juga dilengkapi rim dan tayar yang berbeza. Varian Standard dilengkapi rim aloi dengan tayar versi jalanan, manakala varian Special Edition dilengkapi rim berjejari dengan tayar versi dual-purpose. Harga jualan asas yang ditawarkan untuk varian Standard ialah RM 4,988.00, dan sebanyak RM 5,188.00 untuk Special Edition.

Untuk ketenangan minda pemiliknya, Aveta Ranger Cub Cross 115 2024 didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu. Beralih ke bahagian spesifikasi, enjinnya bersesaran 113cc (sejukan udara, karburetor elektronik) dengan kotak gear empat kelajuan, yang menghasilkan kuasa 8.7hp @ 8,000rpm dengan tork 9Nm @ 5,500rpm.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain pada model kapcai adventure itu adalah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, tangki petrol 3.5 liter, sistem brek jenis cakera dan dram, sistem lampu LED, panel meter digital, pelindung tangan, dan ketinggian tempat duduk 750 mm. Tempahan kini telah dibuka dan jualan rasminya akan bermula pada bulan depan.