Di pasaran Thailand, Honda ADV350 RoadSync 2024 dengan rasminya dilancarkan baru-baru ini, dalam tiga pilihan warna iaitu Nightfall Black, Misty Grey dan Red Twilight. Harga jualannya ditetapkan bermula dari 188,900 THB, bersamaan nilai RM 24,446.43 mengikut kadar semasa.
Berbanding versi Standard yang turut ditawarkan dengan harga 186,400 THB, versi RoadSync mempunyai kelebihan apabila dilengkapi dengan sistem HSVCs (Honda Smartphone Voice Control system). Spesifikasi dan ciri-ciri lain untuk kedua-dua versi tersebut pula adalah sama.
Honda ADV350 RoadSync 2024 dikuasakan enjin eSP+ satu silinder bersesaran 330cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valve, SOHC) dengan padanan sistem transmisi automatik CVT. Enjin yang cekap dan ekonomi itu menghasilkan 28.83hp @ 7,500rpm dengan tork 31.5Nm @ 5,250rpm.
Melengkapkan lagi spesifikasi model skuter adventure itu termasuklah sistem kunci dan kawalan pintar Honda, panel meter digital LCD, sistem lampu LED, port pengecas USB, ruang storan 48 liter, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, dan sistem Emergency Stop Signal (ESS).
Sementara itu untuk pasaran Malaysia, Honda ADV350 2024 akhirnya kini telah disahkan bakal diperkenalkan tidak lama lagi, bertempat di Malaysia Autoshow 2024, di MAEPS, Serdang (22 – 26 Mei 2024). Tempahan untuk model berkenaan kini telah dibuka oleh pihak wakil pengedar.