Model skuter Yamaha Tricity 125 2024 kini diperkenalkan di pasaran Jepun, dengan satu pilihan warna baharu yang menarik iaitu Matte Light Green. Dua lagi pilihan warna lain yang ditawarkan bersama-sama ialah Matte Gray dan White, yang dibawakan daripada model tahun 2023.
Untuk pasaran Jepun, model Leaning Multi Wheel (LMW) itu mempunyai tanda harga sebanyak 495,000 Yen, bersamaan RM 14,859.15 mengikut kadar semasa. Ianya telah berada di pasaran secara rasmi pada tarikh 11 April 2024. Aspek teknikal, setakat ini tiada sebarang perubahan.
Yamaha Tricity 125 2024 dilengkapi enjin Blue Core 124cc (liquid-cooled, SOHC, 4-valves). Enjin dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) itu dipadankan dengan transmisi automatik, dan menghasilkan kuasa maksimum 12PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 11Nm @ 6,000rpm.
Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah seperti Smart Motor Generator, Stop & Start System, sistem kunci pintar, panel meter digital dengan ciri sambungan ke aplikasi Yamaha Y-Connect, lampu depan LED, tangki petrol 7.2 liter, dan ruang storan 23.5 liter di bawah tempat duduk.
Akhir sekali, Yamaha Tricity 125 2024 turut dilengkapi sistem brek cakera dengan teknologi UBS (Unified Brake System), tinggi tempat duduk 770 mm, dan sepasang tayar di dalam siri 90/80-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang). Berat model skuter tersebut berada pada angka 168 kg.