Aveta Ranger 110 2022 tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu

Di pasaran tempatan sejak dua tahun yang lepas, sebuah model kapcai dengan gaya rekaan yang unik dan tersendiri iaitu Aveta Ranger 110 telah dilancarkan dengan rasminya. Sehingga kini Aveta Ranger 110 masih lagi ditawarkan, dan versi terkini 2022 telah pun diperkenalkan dengan tiga skim warna terbaharu yang lebih menarik. Harga jualannya pula dikatakan sekitar RM 3,000.00 sahaja.

Merujuk kepada laman sesawang rasmi Aveta Global Marketing Sdn. Bhd., Aveta Ranger 110 2022 ini dikatakan sebuah model kapcai dalam segmen adventure, dengan taglinenya ‘The Never Ending Adventure’. Mungkin ada benarnya apa yang dikatakan itu, namun untuk makluman semua, model berkenaan hanya dilengkapi enjin 110cc (4 Stroke, Air Cooled, Single Cylinder, Carburetor) sahaja.

Enjin itu kemudiannya digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan, dan kuasa maksimumnya mencapai 6.83hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 7.2Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 3.8 liter. Spesifikasi lain pada model Aveta Ranger 110 ini adalah seperti fork depan teleskopik, sepasang penyerap hentak belakang, dan sistem brek depan dan belakang jenis dram.

Untuk yang pertama kali melihat model kapcai ini, sudah pasti akan tertarik dengan gaya rekaannya yang minimalis, termasuklah rekaan lampu depannya yang berbentuk bulat dan kental dengan gaya klasik. Menurut pengeluarnya Aveta Ranger 110 2022 didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan. Jadi, adakah model kapcai ini mampu menarik perhatian anda?