Di pasaran USA, salah sebuah model skuter menarik yang ditawarkan ialah Yamaha Zuma 125 2024. Berbanding model sebelumnya iaitu Yamaha Zuma 125 2023, versi untuk musim 2024 kini tampil dengan kemaskini dua pilihan warna baharu yang lebih menarik. Harga jualannya pula masih lagi sama iaitu sebanyak $3,799.00, yang kini bersamaan nilai RM 18,007.26.
Imbas kembali spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan. Yamaha Zuma 125 2024 dilengkapi enjin Blue Core dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) dan bersesaran 125cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valves). Enjin yang cekap dan berprestasi itu kemudiannya telah dipadankan dengan transmisi automatik V-belt. Jumlah kuasa dan tork bagaimanapun tidak diumumkan.
Melengkapkan spesifikasi untuk model berkenaan ialah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, brek cakera depan dan belakang dengan diameter masing-masing 245 mm dan 230 mm, tangki bahan api dengan kapasiti 6.1 liter, tayar depan dan belakang jenis ‘heavy-duty’ dengan saiz 120/70-12 dan 130/70-12, dan ketinggian tempat duduk 785 mm.
Yamaha Zuma 125 2024 seterusnya dilengkapi dengan banyak ciri-ciri menarik dan praktikal, antaranya termasuklah soket pengecas USB, ruang storan yang luas di bawah tempat duduk, panel meter digital LCD pelbagai maklumat, lampu depan LED asimetrik yang terang, tongkat sisi dengan tongkat tengah, dan suis penghidup enjin dengan penutup yang lebih selamat.