Selepas pengenalan model Honda CBR400R 2024, pasaran Jepun kemudiannya diperkenalkan pula dengan model Honda NX400 2024. Untuk makluman, model adventure tersebut adalah sama dengan model Honda NX500 2024, yang sebelum ini diperkenalkan di pasaran Eropah.
Bezanya ialah NX400 dilengkapi enjin yang lebih kecil bersesaran 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, inline 2-cylinder), dengan kuasa maksimum 46PS @ 9,000rpm dan tork puncak 38Nm @ 7,500rpm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.
Spesifikasi menarik lain yang melengkapinya termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), panel meter TFT berwarna sepenuhnya bersaiz 5.0 inci, sistem Honda RoadSync yang boleh disambungkan ke telefon pintar, sistem lampu LED, dan sistem Emergency Stop Signal.
Selanjutnya, Honda NX400 2024 turut dilengkapi ciri-ciri standard seperti fork depan SFF-BP 41 mm, suspensi belakang Prolink, sistem brek depan dengan cakera berkembar, ABS Dual Channel, tangki bahan api berkapasiti 17 liter, ketinggian tempat duduk 800 mm, sepasang tayar bersaiz 110/80-19 (depan) dan 160/60-17 (belakang), dan beratnya mencapai angka 196 kg.
Untuk pasaran Jepun, NX400 didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Pearl Glare White dan Matte Ballistic Black Metallic. Harga jualannya ditawarkan sebanyak 891,000 Yen, bersamaan RMĀ 28,170.43 mengikut kadar semasa. Ianya akan berada di pasaran pada 18hb. April 2024.
Artikel berkaitan :