Yamaha Bolt R-Spec 2024 ditawarkan di pasaran USA – $8,899.00

Untuk pasaran USA, Yamaha Bolt R-Spec 2024 ditawarkan dengan harga sebanyak $8,899.00, bersamaan nilai RM 42,230.20 mengikut kadar semasa. Pilihan warnanya pula hanya satu sahaja iaitu skim warna hitam dengan jalur berwarna merah di bahagian tangki bahan api.

Merujuk kepada model yang sama di pasaran Filipina, model tersebut seterusnya dilengkapi enjin bersesaran 942cc (air-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valves, V-type 2-cylinder) dengan sistem transmisi lima kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 54.3PS @ 5,500rpm dengan tork maksimum 79.5Nm @ 3,000rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 13 liter.

Spesifikasi standard lain pada model cruiser Yamaha Bolt R-Spec 2024 ini termasuklah panel meter digital LCD yang bersaiz kompak, lampu belakang LED, fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang berkembar boleh laras, sistem brek cakera depan dan belakang bersaiz 298 mm, dan tayar depan dan belakang yang bersaiz 100/90-19 dan 50/80-16 masing-masing.

Ketinggian tempat duduk berada pada paras hanya 690 mm, manakala berat keseluruhannya 252 kg (wet weight). Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Bolt R-Spec yang sporty dan bergaya ini pastinya mempunyai ramai peminat. Namun sehingga kini ianya masih belum dilancarkan.